Hoki

JWC: Malaysia cipta kejutan ikat Belgium


Malaysia berjaya mengikat Belgium dengan keputusan seri 1-1. Foto: FIH

SKUAD projek khas lelaki kebangsaan mencatat keputusan yang cukup positif apabila seri 1-1 dengan Belgium pada aksi kedua Piala Dunia Hoki Remaja (JWC) di Stadium Kalinga di Bhubaneswar, India.

Keputusan itu pastinya merentap ego Belgium selaku naib juara edisi JWC 2016 apabila terpaksa berkongsi mata dengan Malaysia yang tewas kepada mereka dalam dua pertemuan terdahulu.

Dalam aksi itu, Malaysia mendapat satu peluang terbaik pada awal permainan tetapi percubaan Shamir Shamsul gagal menemui sasaran selepas menerima hantaran cantik daripada Syarman Mat Tee.

Belgium juga mempunyai satu peluang terbaik tetapi barisan pertahanan Malaysia berjaya menghalang Thibeau Stockbroekx daripada membuka tirai jaringan buat skuad bimbingan Jeroen Baart itu.

Sebaliknya, Malaysia yang berjaya mengejutkan gergasi Eropah itu dengan gol pertama menerusi pukulan sudut penalti yang disudahkan oleh Amirul Hamizan Azhar pada minit ke-29.

Pujian harus diberikan kepada Amirul Hanif Mamat kerana gerakan solonya daripada bahagian bawah berjaya mendapatkan sepakan penalti selepas dia dikasari dalam kawasan D sebelum itu.

Aksi skuad Malaysia ketika menentang Belgium. Foto: FIH

Penjaga gol, Che Sharul Azmi Che Saupi juga layak diangkat sebagai wira kerana menyelamatkan banyak percubaan berbahaya Belgium termasuk tiga pukulan sudut penalti berturut-turut pasukan lawan dalam suku masa ketiga.

Hasrat skuad bimbingan Wallace Tan untuk mengutip tiga mata yang cukup berharga ke atas Belgium tidak kesampaian apabila melepaskan juga gol penyamaan menerusi pukulan sudut penalti Stockbroekx pada minit ke-49.

Walaupun seri, keputusan itu amat positif buat skuad negara kerana masih membuka peluang untuk mara ke peringkat suku akhir.

Bagaimanapun, segalanya bergantung kepada aksi terakhir Kumpulan A esok kerana hanya kemenangan atau sekurang-kurangnya seri dengan Afrika Selatan akan menjamin tempat ke pusingan seterusnya.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: