
SKUAD hoki projek khas lelaki kebangsaan bakal menguji kemampuan Belgium pada aksi kedua Kumpulan A Piala Dunia Hoki Remaja (JWC) 2021 di Stadium Kalinga, India malam ini (26 November).
Ia dilihat satu tugas yang amat mencabar buat anak-anak buah Wallace Tan kerana Belgium adalah pasukan berstatus naib juara sewaktu edisi JWC 2016 selepas tewas kepada India di pentas final.
Jika mengikutkan rekod pertembungan kedua-dua pasukan, kelebihan ternyata lebih memihak kepada Belgium dengan dua kemenangan dan satu kekalahan sepanjang tiga pertemuan terdahulu dengan Malaysia.
Bagaimanapun, ia bukanlah satu perkara mustahil untuk menewaskan Belgium kerana Malaysia pernah menewaskan lawan Eropah itu dengan keputusan 4-2 sewaktu edisi JWC 2005.
Namun, secara realistiknya, pertembungan itu tentunya bakal menguji kemampuan setiap sudut skuad projek khas kebangsaan memandangkan Belgium ketika ini dilihat sudah dapat menyesuaikan diri dengan suasana pertandingan.
Ia dapat dilihat menerusi kemenangan besar Belgium 5-1 ke atas Afrika Selatan dalam aksi pertama mereka kelmarin termasuk satu pukulan sudut penalti daripada Roman Duvekot.
Apa yang pasti, barisan pertahanan Malaysia perlu bersedia sepenuhnya kerana Belgium berjaya meledak empat jaringan padang ke atas Afrika Selatan menerusi Nelson Onana, Roman Duvekot, Arno van Dessel dan Rik van Cleynenbreugel.
Bagaimanapun, ia tidak bermakna Malaysia tidak mampu memberikan tentangan dengan berbekalkan semangat dan suntikan motivasi terbaik hasil kemenangan 2-1 ke atas Chile kelmarin.
Barisan kejurulatih pastinya sudah menganalisis setiap kelemahan yang dipamerkan para pemain bagi memastikan Malaysia mampu mencatat keputusan positif ke atas Belgium.
Jika berjaya menewaskan Belgium, Malaysia sudah meletakkan sebelah kaki untuk melangkah ke peringkat suku akhir sebelum melengkapkan aksi Kumpulan A menentang Afrika Selatan (27 November).
Add Comment