Hoki

JWC: Afrika Selatan penentu nasib Malaysia petang ini


Skuad negara bakal bertemu Afrika Selatan petang  Sabtu. Foto: FIH

PINTU ke suku akhir Piala Dunia Hoki Remaja (JWC) 2021 sebenarnya dilihat sudah terbentang luas buat skuad hoki projek khas lelaki kebangsaan.

Ia hasil kemenangan 2-1 ke atas Chile dan kejayaan mengikat naib juara edisi JWC 2016, Belgium 1-1 memberikan kelebihan buat Malaysia dalam saingan Kumpulan A.

Sekarang adalah masanya buat barisan pemain memanfaatkan sepenuhnya kesempatan itu dengan memastikan mereka hanya perlu mengelak daripada tewas kepada Afrika Selatan pada aksi terakhir Kumpulan A di Stadium Kalinga petang ini.

Jika berjaya, anak-anak buah Wallace Tan akan menjamin tiket ke pentas suku akhir edisi di Bhubaneswar, India ini sebagai dua pasukan terbaik Kumpulan A sekali gus mencapai sasaran ditetapkan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).

Bagaimanapun, para pemain sama sekali tidak boleh dibuai dengan kejayaan seri menentang Belgium kerana Afrika Selatan juga mempunyai kemampuan tersendiri selepas menang 5-1 ke atas Chile semalam.

Pemain-pemain negara merai kegembiraan selepas mengikat Belgium seri 1-1. Foto: FIH

Namun, statistik pertemuan kedua-dua pasukan nyata lebih menyebelahi Malaysia yang tidak pernah tewas kepada Afrika Selatan dalam tempoh sebenar permainan sepanjang lima perlawanan terdahulu.

Kali pertama bertemu Malaysia seri 1-1 pada JWC 2001 sebelum sekali lagi seri 3-3 tetapi tewas 2-4 menerusi penentuan shoot-out sewaktu penentuan tempat ke-11 dan 12 edisi tersebut.

Sejak itu, Malaysia sentiasa menang ke atas Afrika Selatan dengan keputusan 4-1 (JWC 2005), 3-1 (JWC 2009) dan 2-1 pada JWC 2013 yang menyaksikan skuad negara meraih tempat keempat.

Justeru, barisan kejurulatihan tentunya sudah mempunyai idea dan pelan untuk memastikan para pemain cepat mencapai semula tahap kecergasan terbaik selepas berhempas-pulas menentang Belgium semalam.

Seandainya berjaya, kemaraan ke suku akhir secara tidak langsung memperbaiki pencapaian Malaysia yang sebelum ini sekadar menamatkan edisi JWC 2016 di tempat ke-11.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d