
MALAYSIA berjaya mencapai sasaran ditetapkan pada Piala Dunia Hoki Remaja (JWC) 2021 apabila mara ke suku akhir selepas menewaskan Afrika Selatan 4-3 pada aksi terakhir Kumpulan A di Stadium Kalinga, India.
Menariknya, kemenangan itu menyaksikan skuad projek khas lelaki kebangsaan mara ke peringkat lapan terbaik tanpa merekodkan kekalahan dalam tiga aksi Kumpulan A.
Skuad bimbingan Wallace Tan itu bagaimanapun berdepan kesukaran untuk menembusi gawang Afrika walaupun memperoleh enam pukulan sudut penalti dalam suku pertama dan kedua permainan.
Bagaimanapun, penantian itu akhirnya terlerai apabila Muhammad Fahmi Khalid berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-29 menerusi pukulan sudut penalti.
Kelebihan itu tidak bertahan lama apabila Afrika Selatan menyamakan kedudukan menerusi ketua pasukan, Guy Morgan, juga melalui pukulan sudut penalti pada minit ke-34.
Malaysia sememangnya berada dalam kelas tersendiri ketika mengambil pukulan sudut penalti apabila meledak gol kedua menerusi Muhammad Kamarulzaman Kamaruddin yang memanfaatkan kekalutan di depan gawang Afrika Selatan pada minit ke-41.
Afrika Selatan enggan mengalah dan sekali lagi menyamakan kedudukan menerusi jaringan padang Jared Campbell pada minit ke-48 sebelum Shamir Rizmi Shamsul meletakkan Malaysia kembali di hadapan seminit kemudian.
Walaupun Afrika Selatan berjaya menyamakan kedudukan buat kali ketiga pada minit ke-54, namun kapten, Akhimullah Anuar Esook muncul wira Malaysia dengan jaringan kemenangan empat minit sebelum perlawanan tamat.
Biarpun Malaysia menang dan mara ke suku akhir, namun para pemain masih dilihat perlu memperbaiki beberapa kelemahan yang ditonjolkan dalam perlawanan itu untuk bersedia sepenuhnya menanti Perancis di suku akhir pada Rabu ini.
Ia bukan satu tugas mudah kerana Perancis mencipta kejutan memenangi kesemua perlawanan untuk menjuarai saingan Kumpulan B.
Add Comment