Bola Sepak

Piala Malaysia: Hodak kongsi rahsia Morales!


PENGENDALI  KL City FC, Bojan Hodak menyifatkan apa yang diraih Romel Morales ketika ini adalah di atas usahanya sendiri selepas dia turut mengubah posisi pemain berkenaan dari seorang pemain tengah ke penyerang.

Ini terbukti apabila kerja keras Morales yang menurunkan berat badannya sebanyak 8 kilogram pada awal musim nyata membuahkan hasil buat penyerang Kuala Lumpur City FC itu yang kian berbisa di pentas Piala Malaysia 2021 selepas meledak sembilan gol.

Tambah Hodak, beliau sememangnya tidak menjangkakan perubahan ketara yang ditunjukkan Morales di pentas Piala Malaysia berbanding di saingan Liga Super apabila penyerang dari Colombia itu sekadar menjaringkan lima gol.

Morales (kiri) bersama Hadin Azman masing-masing meledak satu gol membantu kemenangan 2-0 ke atas Selangor FC.

“ Morales memang asalnya seorang pemain tengah tetapi cara permainannya, dia tak suka untuk bertahan dan saya meletakkannya selaku penyerang ekoran kami tidak ada sesiapa untuk bermain di posisi berkenaan.

“ Sejak dari awal dia diturunkan sebagai penyerang, dia sendiri berusaha menurunkan berat badan iaitu dalam 8 kilogram sejak Januari lalu, situasi itu menjadikan dia lebih berbahaya,” katanya.

Tegasnya, dalam bola sepak, ada kalanya sesetengah perkara tidak boleh dinyatakan apabila melihat dia berterusan menjaringkan gol tetapi apa yang pasti, segala kerja kerasnya membuahkan hasil.

“ Tidak dinafikan faktor tuah menyebelahinya dan tiap kali dia mendapat ruang biarpun dari jauh, saya selalu arahkan dia untuk lepaskan rembatan kerana apa sahaja dia lakukan pasti akan membuahkan jaringan, itu tandanya seseorang penyerang itu sedang berada di kemuncak prestasi.

“ Dia seorang yang sangat kuat dari fizikal, teknik yang bagus serta mampu memegang bola untuk jangka masa lama, dia seorang pemain yang mungkin dipertimbangkan dalam skuad negara, ” katanya.

Penyerang berusia 24 tahun itu meledak satu jaringan penting bersama KL City apabila membenam cabaran Selangor FC, 2-0 pada suku akhir pertama, Ahad lalu di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Kedua-dua pasukan akan berentap sekali lagi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, malam esok pada peringkat suku akhir kedua dengan kelebihan memihak City Boys selepas meraih dua gol ditempat lawan.

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: