Bola Sepak

‘The Klang Valley Derby’ milik siapa


Oleh : JJ FIRDAUS

PERTEMBUNGAN dua gergasi Lembah Klang ini pastinya menjanjikan satu pertemuan klasik yang sering kali kita disajikan dalam tempoh 100 tahun Piala Malaysia ini.

Pertemuan yang diberi gelaran ‘The Klang Valley Derby’ ini mempunyai sejarah perseteruan tersendiri apabila kedua-dua pasukan pastinya mahukan kemenangan bagi bergelar ‘King of Klang Valley’.

Selangor sememangnya mempunyai rekod terbaik dalam Piala Malaysia. 33 tahun bergelar juara dan mereka pastinya mahu merakam kejayaan terbaik muncul juara sempena seabad kejohanan ini diperkenalkan.

Selangor FC memiliki rekod baik dalam saingan Piala Malaysia.

Namun kali ini tugas berat menanti mereka kerana musuh tradisi, Kuala Lumpur City kita bukanlah pasukan belasahan seperti dahulu kala. Angin perubahan yang melanda pengurusan KL City berjaya diterjemahkan kepada persembahan baik di atas padang.

Selangor yang dilihat bergelut memenuhi kehendak penyokong yang dijanjikan dengan DNA Jerman jelas bergelut dalam Liga Super dengan hanya berada di pertengahan kedudukan liga. King of Malaya ini memerlukan magis dan tuah jika mahu layak lebih jauh.

Bakal kehilangan kapten, Safuwan Baharudin yang mewakili skuad kebangsaan Singapura, bahagian pertahanan Selangor dilihat bakal mempunyai masalah tetapi Karsten Neitzel pastinya sudah mempunyai rencana bagi mengekang asakan KL City.

Bahagian serangan juga dilihat terkesan tanpa kehadiran penjaring terbanyak Liga Super, Ifedayo Olesegun yang masih tidak diketahui khabar beritanya. Kini bintang muda Danial Asri dilihat semakin yakin mengepalai serangan dan aksi baik beliau pastinya dituntut barisan kejurulatihan.

Prestasi terbaik KL City FC masa kini pastinya mengerunkan pesaing lain.

SKUAD WARGA KOTA DALAM PRESTASI TERBAIK

Kuala Lumpur City pula kini berada pada prestasi terbaik dengan muncul juara Kumpulan A tanpa kalah. Segala apa yang dilakukan oleh Bojan Hodak berjaya diterapkan dalam permainan oleh para pemain.

Gandingan pemain tempatan dan antarabangsa sama ada yang senior mahupun junior dilihat sangat jitu dan keserasian jelas tergambar menerusi aksi cemerlang yang ditunjukkan di atas padang.

Kedua-dua pasukan mempunyai kelebihan kerana tidak perlu berjalan jauh untuk ke gelanggang lawan dengan Selangor pastinya mahu memanfaatkan aksi di Petaling Jaya untuk mencari kelebihan sebelum berkunjung ke Cheras.

Barisan Kuala Lumpur City pastinya mahu menjaringkan gol di Petaling Jaya kerana mereka sedar kelebihan gol di tempat lawan sangat penting dan dengan rekod baik tanpa kalah di Cheras, Selangor sudah pasti akan berdepan kesukaran.

Siapakah yang bakal bergelar jaguh Lembah Klang sekaligus mempunyai ‘bragging rights’ untuk dibanggakan oleh pemain dan penyokong. Pastinya aksi menarik akan ditunjukkan oleh kedua-dua pasukan.

Kepada para penyokong, mari semua penuhkan stadium. Beri sokongan kepada pasukan kesayangan anda. Derbi Lembah Klang pada ulang tahun ke-100 Piala Malaysia adalah sebuah kisah klasik untuk masa depan. Selamat maju jaya buat kedua-dua pasukan.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: