Bola Sepak

Skuad B-22 ungguli Kumpulan J, Nik Akif MOTM aksi menang ke atas Mongolia


Oleh : SUBKHI SUDARJI

SKUAD Bawah 22 Tahun (B-22) mengungguli Kumpulan J selepas meraih kemenangan kedua menewaskan Mongolia,1-0 dalam kempen Kelayakan Piala Asia Bawah 23 2022 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium MFF, Ulanbaatar, Mongolia, sebentar tadi.

Kemenangan kedua ini meletakkan skuad bimbingan Brad Maloney meraih enam mata penuh dari dua perlawanan selepas turut mencatatkan keputusan yang sama pada aksi sulung menentang Laos, Isnin lalu.

Gol tunggal jaringan Muhammad Nur Azfar Fikri pada minit ke 40 yang juga merupakan gol kedua dalam saingan kali ini memastikan tiga mata penuh buat pasukan.

Beraksi dengan impian memburu tiga mata penuh bagi meneruskan rentak kemenangan, Brad Maloney menurunkan barisan terkuat dengan menyenaraikan Hakimi Abdullah dan Quentin Cheng dalam kesebelasan utama berbanding ketika aksi berdepan Laos, Isnin lalu.

Corak permainan menekan dipamerkan tuan rumah setiap kali bola berada dikaki pemain B-22 menyaksikan tiada ruang buat pemain untuk mengatur gerakan dengan bola lebih banyak berkisar dibahagian tengah.

Quentin Cheng membuktikan keputusan Maloney menurunkannya selaku kesebelasan utama  tepat apabila berjaya mengagalkan beberapa percubaan pemain lawan khususnya menerusi bahagian sayap.

Permainan yang tidak teratur selain gagal mengawal bola dengan tempoh yang lama memberi peluang buat tuan rumah melancarkan serangan dan memberi tekanan kepada benteng Malaysia.

Malaysia turut memiliki beberapa peluang menerusi gerakan Luqman Hakim pada minit ke-36 namun pergerakannya mudah dipatahkan pertahanan lawan.

Usaha berterusan Malaysia memburu gol akhirnya menjadi kenyataan menerusi Azfar Fikri yang menanduk masuk bola pada minit ke-40 untuk menewaskan penjaga gawang tuan rumah, Batmagnai Sereekhuu dan jaringan berkenaan kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, corak permainan lebih tersusun dipamerkan barisan pemain dengan hantaran pendek yang kemas selain berjaya mengekang asakan pemain lawan serta beberapa serangan menarik dijelmakan pasukan.

Foto: AFC

Azfar terus menjadi bebanan buat tuan rumah apabila tandukan pada minit ke-51 sedikit melewati palang gol ketika Batmagnai hanya sekadar memerhati bola tersebut.

Selang lima minit kemudian, kesilapan pertahanan lawan yang gagal mengawal bola berjaya dicuri ketua pasukan Mukhairi Ajmal untuk melakukan rembatan bola dari luar kotak penalti yang tepat ke dakapan Batmagnai.

Mukhairi Ajmal sekali lagi hampir menjaringkan gol kedua buat pasukan namun gerakannya menerusi rembatan dari luar kotak penalti pada minit ke-75 sekali lagi terkena palang.

Skuad B-22 seharusnya menutup perlawanan dengan kemenangan 2-0 namun peluang keemasan dimiliki Hakimi ketika hanya berdepan dengan Batmagnai gagal disudahkan dengan jaringan gol dan perlawanan kekal dengan keputusan 1-0 memihak buat skuad B-22.

Selain kemenangan bermakna ini, pemain tengah negara  Nik Akif Syahiran Nik Mat menjadi pilihan Cakap Sukan sebagai ‘Man of The Match’ bagi aksi ini.

Skuad bimbingan Maloney akan menamatkan aksi pada kejohanan ini bertemu Thailand, 31 Oktober nanti.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading