Badminton

Badminton Terbuka Malaysia sekali lagi dibatalkan selepas tahun 2020


PERSEKUTUAN Badminton Dunia (BWF) mengesahkan Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia dibatalkan buat tahun kedua berturut-turut.

Tanpa menyatakan sebab, badan induk badminton dunia ini mengumumkan pembatalan kejohanan ‘Jelajah Dunia Super 750’ itu bersama perkongsian kalendar kejohanan 2022 di laman sesawang rasmi BWF pada Khamis.

Terbuka Malaysia pada asalnya dijadualkan berlangsung pada 25-30 Mei di Arena Axiata, sebelum ditangguhkan dari awal Mei berikutan peningkatan kes Covid-19 ketika itu.

Manakala edisi 2020 yang dijadual pada 31 Mac hingga 5 April tahun lalu juga telah dibatalkan akibat pandemik Covid-19 dan Perintah kawalan Pergerakan (PKP).

Sementara itu BWF turut mengumumkan bahawa Terbuka Malaysia tahun hadapan dijadualkan berlangsung dari 28 Jun hingga 3 Julai diikuti dengan Masters Malaysia (5-10 Julai).

Mengikut kalendar yang diumumkan itu, musim 2022 akan bermula di India dengan tiga kejohanan berturut-turut iaitu Terbuka India (11-16 Jan), Antarabangsa India Syed Modi (18-23 Jan), Terbuka Odisha (25-30 Jan), dan All England 16 hingga 20 Mei.

Setiausaha Agung BWF Thomas Lund berkata, kalendar tahun hadapan mempunyai beberapa kejohanan kluster yang dirancang bagi mengurangkan kesukaran masalah pergerakan antara negara.

“Sudah tentunya kejohanan pada 2022 akan mengenakan arahan keselamatan BWF. Bagaimanapun BWF berharap perubahan secara beransur-ansur dalam melaksanakan kejohanan dengan pengurangan sekatan Covid-19  dan perlahan-lahan akan kembali kepada keadaan normal,” katanya. – Bernama


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: