Badminton

Langkah pertama… Rexy mahu fokus konsistensi pemain-pemain beregu


Oleh: SURYATI MOHD NOR

REXY Mainaky mengakui susunan program yang baik antara sebab dia kembali menyertai Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Bekas pemain beregu legenda Indonesia yang berusia 53 tahun ini akan memikul tugas sebagai Timbalan Pengarah Kejurulatihan di samping Pengarah Kejurulatihan Wong Choong Hann dan fokusnya adalah kepada prestasi pemain-pemain beregu negara.

“Saya selalu mengikuti perkembangan BAM ketika bersama pasukan Thailand. Saya akui program-program yang dibuat BAM sangat jelas dan bagus.

“Disebabkan itu saya menerima tawaran BAM. Saya tidak sambung dengan Thailand.

“Saya harap hasrat saya akan tercapai untuk membuat pasukan sekurang-kuranganya menang pingat emas pada Sukan Olimpik 2024,” kongsinya kepada media.

Rexy ketika melatih Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong sebelum ini. Foto kredit: The Star

Bekas pemenang pingat emas acara beregu lelaki Sukan Olimpik Atlanta 1996 ini pernah membimbing pasukan negara selama tujuh tahun sebelum bergelar ketua jurulatih Filipina pada tahun 2012.

Jelas Rexy perkara utama yang akan dibincang bersama Choong Han adalah konsistensi pemain-pemain.

“Konsistensi kena perbetulkan dan akan dibincangkan dengan pengarah kejurulatihan, barisan jurulatih dan pemain-pemain supaya lebih jelas apa yang kita mahu.

“Selain sasaran kita dan jurulatih, mereka (pemain-pemain) perlu juga ada sasaran sendiri, bukan dari kita sahaja.

“Tujuan dan arah perlu disatukan,” tambahnya yang akan memulakan tugas pada 1 Disember ini.

Ketika zaman kegemilangannya, Rexy bersama Ricky Subagja menjuarai Kejuaraan Dunia 1995 dan gelaran Olimpik 2016, selain memenangi tiga pingat emas Piala Dunia dan gelaran empat kali Piala Thomas antara 1994 hingga 2000.

Untuk rekod, Rexy sebelum ini pernah berkhidmat sebagai jurulatih beregu negara dari 2005-2012. Rexy bertanggungjawab menjadikan gandingan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong sebagai beregu nombor satu dunia selain memenangi emas Sukan Asia 2006 dan gelaran All-England 2007.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: