Bola Sepak Komentar

Hari ini dalam sejarah: Perak juara Piala Malaysia penuh epik


Oleh: JJFIRDAUS

TIGA tahun lalu, 27 Oktober 2018 satu sejarah telah tercipta dan tersimpan kemas dalam kenangan penyokong bola sepak tempatan apabila Perak berjaya bangkit selepas ketinggalan untuk menjuarai Piala Malaysia tahun itu.

Perlawanan akhir TM Piala Malaysia 2018 berlangsung di Stadium Shah Alam dengan kesemua 80,000 tiket habis dijual dalam tempoh kurang satu jam di pelbagai daerah di Perak dan Terengganu.

Hujan lebat sebelum perlawanan seakan membawa maksud para penyokong bakal disajikan dengan pertembungan epik yang boleh dianggap antara final paling mendebarkan pernah berlangsung dalam sejarah Piala Malaysia.

Terengganu turun dengan jersi putih dilihat sebagai pilihan selepas menyingkirkan Johor Darul Ta’zim pada peringkat separuh akhir manakala Perak dengan jersi kuning layak ke final selepas mengenepikan cabaran Sabah.

Tchetche Kipre hanya memerlukan 46 saat untuk meletakkan Terengganu di hadapan selepas tolakan kebelakang oleh Idris Ahmad terlalu lemah dan dicuri oleh Kipre untuk gol pertama.

Tersentak dengan gol itu, Perak mula mengatur gerak dan kembali dalam perlawanan tetapi berbaki tiga minit sebelum tamat separuh masa pertama, Kipre sekali lagi diberi gol percuma apabila kali ini Hafizul Hakim pula gagal mengeluarkan bola dan secara tiba-tiba Terengganu kini di hadapan dengan 2-0.

Bermula separuh masa kedua, Perak berjaya merapatkan kedudukan apabila Firdaus Saiyadi merembat masuk bola hantaran Brendan Gan dan menjadikan suasana malam itu semakin panas.

Pada minit ke-57 keadaan bertambah tegang apabila Gilmar dilayangkan kad merah dan tidak sampai 10 minit selepas itu, Lee Tuck pula menerima nasib yang sama untuk kedua-dua pasukan bermain dengan 10 pemain.

Ketika penyokong Terengganu sudah bergembira menunggu wisel penamat ditiupkan, Brendan Gan menggamatkan stadium apabila berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit-minit akhir perlawanan untuk mengikat kedudukan 2-2.

Perlawanan dilanjutkan ke masa tambahan 30 minit dan sekali lagi Terengganu berjaya mendahului kali ini menerusi jaringan menakjubkan dari Faiz Nasir yang melencongkan bola dari luar kotak penalti.

Sekali lagi penyokong Terengganu sudah menyanyi gembira sambil menyalakan lampu di telefon bimbit masing-masing sebelum tragedi menyentak mereka apabila pemain pertahanan import, Igor Zonjic tertampan bola ke gawang sendiri dan memberikan gol penyamaan buat Perak.

Semua yang ada di dalam stadium bagaikan tidak percaya dengan apa yang disaksikan dan akhirnya penentuan penalti dilangsungkan bagi mengetahui siapakah pemenang piala yang cukup berprestij itu.

Igor Zonjic dan Thierry Chanta Bin gagal menyempurnakan sepakan penalti masing-masing manakala Wander Luiz, Amirul Azhan, Shahrul Saad dan Leandro berjaya menjalankan tugas dengan baik untuk akhirnya Perak menang dengan 4-1.

Piala Malaysia tahun 2018 akhirnya menjadi milik Perak dan malam gemilang itu akan terus dikenang menjelang aksi Piala Malaysia 2021 yang bakal bersambung pada hujung minggu ini.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: