EPL

Serba tak kena di laman sendiri, United dimalukan Liverpool dengan lima gol


Pemain-pemain Liverpool meraikan kemenangan ke atas Manchester United di Old Trafford.

AKSI yang serba tidak menjadi daripada Manchester United ketika bertemu Liverpool di Old Trafford lewat Ahad malam.

Anak buah Ole Gunnar Solksjaer gagal menyekat serangan pemain-pemain Jurgen Klopp dengan menyaksikan Naby Keita membuka jaringan seawal minit ke-5 permainan.

Sepuluh minit kemudian, United sekali lagi dikejutkan dengan jaringan lawan menerusi Diogo Jota (m-15) sekaligus tekanan semakin dirasai pemain-pemain United.

The Reds menguasai permainan dengan mempamerkan corak serangan yang baik dan sekali lagi gawang United digegar dengan jaringan Mohamed Salah, minit ke-38.

Jaringan tersebut menjadikan Old Trafford seperti ‘sunyi’ dengan suara penyokong yang ternyata terkejut dengan jaringan-jaringan Liverpool.

Salah (kiri) menyumbat tiga gol aksi bertemu United.

Minit terakhir babak pertama, Salah sekali lagi dengan tenang melepaskan tendangan ke arah gol De Gea untuk gol keduanya dan keempat buat Liverpool.

Bersambung babak kedua, Salah melakukan hatrik dengan gol kelima untuk Liverpool pada minit ke-50.

Rekod baharu bagi Salah yang menjadi pemain pertama menjaringkan gol sebanyak tiga kali di tempat lawan bertemu United.

Malah dia juga menjadi pemain pertama Liverpool menjaringkan gol dalam lima perlawanan di tempat lawan bagi satu musim dalam tempoh 119 tahun.

Lebih menarik, pemain antarabangsa Mesir ini melebarkan rekodnya bersama Liverpool menjaringkan gol dalam sepuluh perlawanan berturut-turut.

Dalam pada itu, Cristiano Ronaldo cuba merapatkan jaringan dengan melakukan pergerakan cantik dan melepaskan tendangan ke arah gol lawan, bagaimanapun jaringan tidak dikira kerana berada dalam keadaan ofsaid.

Minit ke-60 Pogba dilayangkan kad merah yang menjadikan pemain-pemain Liverpool lebih banyak mendominasikan permainan, manakala barisan pertahanan United dilihat lebih berhati-hati bagi mengelak serangan dan jaringan lawan.

Bagaimana pun sehingga tamat permainan, United gagal mencari sebarang gol dengan keputusan kekal berpihak kepada Liverpool.

 

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading