Permotoran

Perebutan slot ke Valencia semakin sengit


Aksi tunggangan menarik dipamerkan barisan pelumba.

Oleh : SUBKHI SUDARJI

PEREBUTAN memburu slot mewakili negara pada Kejuaraan Dunia di Valencia semakin menarik  dan sengit dengan penunggang muda Farres Putra mengungguli saingan Perlumbaan 2 dalam Pusingan 3 FIM Malaysia MiniGP Championship, yang berlangsung di Litar Antarabangsa Go-Kart Sepang, semalam.

Menduduki tempat keempat pada Perlumbaan 1, Farres, yang berasal dari Selangor,memintas pendahulu perlumbaan Farish Hafiy dan Akif Abdullah pada Lap ke 12 untuk mencuri kemenangan dan memungut 25 mata berharga untuk meletakkan beliau sebagai pendahulu kejuaraan dengan mengumpul 108 mata.

Aksi sengit tidak kurang hebatnya disajikan Farish yang berasal dari Selangor dengan menduduki tempat kedua keseluruhan (97 mata) dan Akif di tempat ketiga dengan 93 mata.

Emil Idzar, yang gagal menamatkan Perlumbaan 2, masih mempunyai peluang cerah untuk tiket ke Valencia; dengan mengutip 82 mata setakat ini.

Sementara itu, dalam saingan SIC Ohvale Junior Championship, penunggang cilik Terengganu, Qabil Irfan terus unggul apabila meneruskan rekod sempurna selepas memenangi kedua-dua perlumbaan untuk Pusingan 3 dalam saingan penunggang antara sembilan hingga 11 tahun dengan jentera Ohvale 110cc.

Selepas kemenangan menyakinkan pada Perlumbaan 1 dengan mengalahkan saingan terdekat, Adam Danial dengan kelebihan 9.172 saat, Qabil lebih cemerlang pada Perlumbaan 2 dengan menamatkan jauh di hadapan Adam Danial. Tempat ketiga untuk Perlumbaan 2 dimenangi oleh Shah Putra.

Dengan enam kemenangan daripada tiga pusingan, Qabil mengungguli kedudukan keseluruhan dengan 150 mata; dan peluang cerah untuk dinobat sebagai juara sulung saingan SIC Ohvale Junior Championship 2021 ini.

Adam Danial menduduki tempat kedua dengan mengumpul 106 mata dan menjadi pencabar tunggal kepada impian kejuaraan Qabil.

Pusingan 4, yang akan menampilkan dua perlumbaan terakhir musim ini dan menawarkan pungutan maksima 50 mata, akan berlangsung hari ini di SIKC.

Perlumbaan diadakan sebagai sebahagian daripada kejuaraan global dianjurkan Dorna, yang merupakan pemegang hak untuk penganjuran Kejuaraan MotoGP Dunia, saingan FIM MiniGP ini disaingi oleh para pelumba berusia antara 11 hingga 14 tahun dengan menggunakan jentera lumba 160cc Ohvale GP-0 keluaran Itali.

Tiga penunggang terbaik akan terpilih mewakili negara pada saingan FIM MiniGP World Series yang akan diadakan di Valencia, Sepanyol bulan depan.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: