Bola Sepak

Skuad B-22 negara pamer aksi mantap, menang ke atas KDA FC


Aksi pemain B-22 bertemu Kedah Darul Aman FC pada Isnin. Foto: FAM

Oleh: JJFIRDAUS

PASUKAN Bawah 22 Tahun (B-22) negara berjaya mencatat kemenangan 2-0 menentang pasukan naib juara Liga Super, Kedah Darul Aman FC dalam aksi persahabatan terakhir sebelum terbang ke Kejohanan Kelayakan Piala Asia B23 2022 di Mongolia.

Gol skuad kebangsaan dijaringkan oleh Ahmad Zikri Mohd Khalili pada minit ke-28 dan Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar pada masa tambahan separuh masa kedua.

Pengendali Brad Maloney menyenaraikan pemain yang baharu dipanggil iaitu Mukhairi Ajmal, Luqman Hakim, Hakimi Abdullah, Quentin Cheng dan Harith Haiqal untuk memperkuatkan pasukan menjelang kejohanan.

Kedah Darul Aman FC pula menurunkan kesemua pemain tempatan sebagai kesebelasan utama dengan gabungan beberapa pemain yang biasa bermain di liga serta pemain simpanan dan pemain muda.

Keadaan hujan dan padang sintetik tidak menghalang skuad negara untuk membuka tirai jaringan menerusi Ahmad Zikri Khalili yang berjaya mengatasi perangkap ofsaid untuk gol pertama pada minit ke-28.

Gol itu nyata membangkitkan lagi semangat skuad B22 dengan melakukan beberapa lagi serangan tetapi dipatahkan oleh barisan pertahanan Kedah dan Kedah pula sesekali mengancam kubu lawan.

Separuh masa kedua menyaksikan Kedah mula melakukan pertukaran dengan Aidil Shahrin Sahak memasukkan M.Anumathan, Asnan Ahmad, Azamuddin Akil, Renan Alves dan Tchetche Kipre bagi mencari gol penyamaan.

Hakimi Abdullah, Mukhairi Ajmal Quentin Cheng dan Luqman Hakim dibawa masuk bagi memperkuatkan pasukan serta memberi minit permainan dan juga untuk membentuk persefahaman dalam pasukan.

Ketika perlawanan sudah hampir sampai ke penghujung, Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar berjaya melepaskan rembatan kencang menewaskan Ifwat Akmal untuk gol kedua skuad negara.

Kemenangan 2-0 ini menyaksikan skuad negara kini berjaya memenangi dua dari tiga perlawanan persahabatan sekaligus mampu memberikan barisan kejurulatihan bayangan kesebelasan terbaik untuk menghadapi kejohanan nanti.

Skuad B-22 Malaysia akan berangkat ke Mongolia pada 20 Oktober sebelum dijadualkan bertemu Laos pada 25 Oktober, tuan rumah Mongolia pada 28 Oktober sebelum menentang Thailand pada 31 Oktober.

11 juara kumpulan (A hingga K) serta empat pasukan naib juara kumpulan terbaik akan layak ke pusingan akhir pada Jun 2022 bersama-sama pasukan tuan rumah, Uzbekistan.


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: