Hoki

Megat Shahriman terus anggap tindakan KHM ‘pelik dan aneh’


Megat Shahriman menyerahkan isu penggantungannya kepada Perundangan FIH.

Oleh: SURYATI MOHD NOR

DATUK Seri Megat D.Shahriman Zaharuddin memberitahu pihaknya menyerahkan isu penggantungan 18 bulan yang dikenakan ke atasnya kepada perundangan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).

Megat Shahriman yang merupakan pemilik Hockademy digantung selama 18 bulan daripada terlibat sebarang aktiviti hoki berkuatkuasa serta-merta November tahun lalu oleh Jawatankuasa Tatatertib Konfederasi Hoki Malaysia (KHM).

Ia susulan Megat Shahriman kekecewaannya selepas Hockademy yang berada di bawah naungan KLHA tidak menerima hadiah kemenangan sebanyak RM50,000 selaku juara LHM Wanita 2020 serta tambahan RM15,000 apabila turut muncul naib juara Piala Vivian May Soars.

“Selepas mendapat tahu hukuman tersebut, pihak saya sudah pun membuat rayuan, namun tiada keputusan yang diterima dan mereka sekali lagi menyuruh saya membuat rayuan.

“Saya pun pelik, mengapa perlu buat rayuan lagi memandangkan rayuan yang pertama pun tidak diberi keputusan?.

“Jadi saya serahkan kepada FIH untuk menyiasat mengikut susur galur yang betul dan adil.

“Cuma sampai sekarang saya masih anggap KHM pelik dan ‘aneh’ kerana salah ke saya minta wang kemenangan sendiri? Kalau KHM tak ada duit… ‘bagitau’ sahaja. Atau boleh bayar ansur-ansur pun kami faham.

“Tetapi apabila dijanjikan dengan hadiah kemenangan wang ringgit, itulah yang perlu dibuat. Saya pula yang kena gantung?,” ulasnya kepada Cakap Sukan.

Tambah Megat Shahriman yang juga merupakan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM)  ini, beliau tidak akan berhenti atau membiarkan isu ini begitu sahaja.

“Kami dan pemenang lain hanya mahukan hak yang dijanjikan sahaja. Bukannya suka-suka menimbulkan isu yang tak masuk akal ini.

“Saya harap hukuman KHM kepada saya ini tidak berlaku kepada orang lain,” jelasnya.

Sebelum ini dilaporkan Megat Shahriman didapati bersalah oleh Jawatankuasa Tatatertib KHM kerana melanggar Tournament Code of Conduct 2020 apabila membuat kenyataan media berkaitan dengan tuntutan wang kemenangan Liga Hoki Malaysia 2020.

Dalam satu kenyataan terbaharu (Jumaat) oleh Zhafri Aminurashid (Tetuan Fahmi Zhafri Ashraf & CO) memaklumkan bahawa Pihak Guaman Megat Shahriman telah memfailkan rayuan kepada Jawatankuasa Rayuan KHM yang mana Jawatankuasa Rayuan KHM telah menolak rayuan
yang dibuat olehnya pada 18.05.2021 iaitu lebih 3 bulan dari tarikh pendengaran iaitu pada 5.3.2021. Kelewatan ini tidak dinyatakan sebarang sebab atau alasan.

KHM kemudiannya telah mengarahkan sekiranya terdapat rayuan terhadap keputusan Jawatankuasa Rayuan KHM tersebut hendaklah dibuat kepada Kongres KHM dalam masa 14 hari dari 18.05.2021. Pihak Guaman Megat Shahriman telahpun memfailkan Notis Rayuan ke Kongres KHM pada 24.5.2021.

Pihak Guaman Megat Shahriman Zaharudin percaya bahawa proses rayuan sepatutnya berakhir di peringkat Jawatankuasa Rayuan KHM dan tiada keperluan untuk memfailkan rayuan kepada Kongres KHM.

Prosiding rayuan ini perlu diselesaikan secara muktamad di peringkat KHM sebelum pihak Guaman Megat Shahriman boleh membawa kes ini ke peringkat Judicial Commission, International Hockey Federation (FIH) untuk mendapatkan keadilan sewajarnya.

Dalam pada itu, Pihak Guaman Megat Shahriman masih belum menerima arahan selanjutnya dari KHM berkaitan dengan prosiding rayuan ke Kongres KHM walaupun telah memfailkan Notis Rayuan tersebut pada 24.5.2021. Kelewatan ini adalah tidak wajar dan menjejaskan hak dan kepentingan Megat Shahriman Zaharudin untuk mempertahankan dirinya di sisi undang-undang sedia ada.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: