Hoki

Siri Jelajah UK 2021 tutup tirai, Wallace gembira aksi positif skuad muda


Skuad hoki Bawah 21 Negara mencatat dua kemenangan , satu seri dan lima tewas dalam aksi Siri Jelajah UK 2021. Foto: KHM

AKSI terakhir Siri Jelajah United Kingdom 2021 skuad muda hoki negara menutup tirai dengan kekalahan 0-1 kepada pasukan Bawah 23 Tahun Scotland di Kelab Hoki dan Kriket Clydesdale, Glashow awal pagi Sabtu.

Ia menyaksikan skuad muda Scotland mencatat kejayaan sulung ke atas Skuad Projek Khas Lelaki Kebangsaan bimbingan Wallace Tan dalam siri jelajah ini selepas kedua-dua pasukan terikat seri 1-1 pada aksi sebelum ini.

Biarpun tewas, pengendali skuad muda Bawah 21 Tahun kebangsaan, Wallace Tan memberitahu pemain-pemainnya telah memberi yang terbaik dan dalam masa sama mendapat pengalaman positif daripada perlawanan tersebut.

“Pemain telah memberikan yang terbaik untuk perlawanan hari ini dan terdapat beberapa perkara yang positif daripada perlawanan hari ini.

“Saya boleh berasa gembira dengan perkembangan yang baik daripada pemain-pemain tetapi masih ada perkara yang perlu dipelajari mereka.

“Secara keseluruhan siri jelajah ini jika dibandingkan daripada perlawanan pertama hingga kelapan, ada peningkatan yang telah ditunjukkan dalam setiap perlawanan.

“Pasukan tidak dapat bermain perlawanan kompetitif dalam dua tahun. Jadi siri jelajah ini sesuatu yang cukup baik untuk pasukan.

“Banyak yang telah kami pelajari selain dapat bermain sebagai satu pasukan, membina semangat pasukan dan belajar untuk memperbaiki apa yang perlu,” jelasnya dalam kenyataan di laman web rasmi Konfederasi Hoki Malaysia (KHM).

Untuk rekod secara keseluruhan selepas tamat lapan perlawanan yang diatur, Skuad Projek Khas Lelaki Kebangsaan berjaya mencatatkan dua kemenangan, satu seri dan lima tewas sepanjang jelajah yang bermula pada 3 Oktober lalu.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: