
Oleh: JJFIRDAUS
LIMA kelab dari rantau Asia Tenggara kini telah mengesahkan kelayakan ke peringkat kumpulan Kejohanan Liga Juara-Juara AFC (ACL) musim 2022.
Dua wakil Thailand dan masing-masing satu dari Malaysia, Singapura dan Vietnam layak secara automatik selepas menjadi juara liga domestik manakala satu lagi slot Asean bakal diisi oleh wakil Filipina.
BG Pathum United layak sebagai juara Liga Thailand manakala Chiang Rai United pula layak atas tiket pemenang Piala FA dan Buriram United serta Port FC akan bermain di peringkat kelayakan terlebih dahulu.
Juara Liga Super Malaysia lapan kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim FC (JDT) bakal membuat penampilan keempat mereka di pentas Liga Juara-Juara AFC selepas kali pertama melakukannya pada tahun 2019.
Dari tiga penampilan dalam ACL sebelum ini, JDT berjaya mencatatkan kemenangan dalam peringkat kumpulan dengan menewaskan wakil dari Jepun, Korea Selatan dan juga Thailand.
Juara baharu Liga Premier Singapura, Lion City Sailors FC akan melakukan penampilan sulung dalam ACL selepas penjenamaan semula kelab dan adalah kelab kedua dari Singapura bertanding di peringkat tertinggi kelab Asia selepas Tampines Rovers.

Kelab Hoang Anh Gia Lai pula bakal membawa nama Vietnam di ACL apabila muncul pendahulu liga ketika Konfederasi Bola Sepak Vietnam (VFF) mengumumkan pembatalan Liga Vietnam ekoran penularan pandemik Covid-19.
Hasil perbincangan, VFF bersetuju bahawa pendahulu liga ketika itu diberikan tiket automatik ke kejohanan Asia sekaligus menjadi penampilan sulung Hoang Anh Gia Lai di ACL dalam format baharu.
Liga Juara-Juara AFC musim 2022 dijadualkan berlangsung bermula pada 15 April 2022 dengan perlawanan akhir dijadualkan pada 29 Oktober 2022. Pusingan kelayakan pula akan dijalankan bermula 1 Mac 2022 hingga 20 April 2022.
Add Comment