
JUARA dunia empat kali, Jerman berjaya mengesahkan tempat ke Piala Dunia FIFA Qatar 2022 selepas menewaskan North Macedonia 4-0 dalam perlawanan kelayakan Kumpulan J Zon Eropah.
Jerman muncul pasukan pertama layak ke Qatar selepas menjadi juara kumpulan sekaligus bakal beraksi di Piala Dunia buat kali ke-19 sejak kali pertama layak pada tahun 1934.
Dua jaringan Timo Werner dan masing-masing satu dari Kai Havertz dan Jamal Musiala sudah cukup untuk Jerman bangkit mengubat kekecewaan selepas tewas kepada lawan yang sama pada April lalu.
Berbaki dua perlawanan dalam peringkat kelayakan, Jerman sudah mengumpul 21 mata hasil tujuh kemenangan dan satu kekalahan dan tiada pasukan lagi yang mampu menggugat kedudukan Die Manschaff sebagai juara.
Jurulatih Jerman, Hansi Flick yang mengambil alih jawatan dari Joachim Low pastinya mahukan keputusan yang baik selepas Jerman tersingkir pada pusingan awal Piala Dunia 2018 dan hanya sampai ke peringkat 16 terbaik pada Kejohanan Eropah baru-baru ini.
Sebagai rekod, Jerman muncul juara Piala Dunia pada 1954, 1974, 1990 dan 2014.
Add Comment