Hoki

Pemain ambil iktibar dari kekalahan – Arulselvaraj

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Skuad senior hoki negara meraih kemenangan 4-2 pada aksi kedua menentang Ireland.

SKUAD Senior Lelaki Kebangsaan berjaya melunaskan misi mencari kemenangan pada perlawanan ujian kedua menentang Ireland dengan kemenangan 4-2 pada aksi di Hockey Club.

Empat gol yang dihasilkan oleh Malaysian Tigers bermula dengan dua gol berturut-turut daripada pakar pukulan sudut penalti negara, Muhammad Razie Abd Rahim yang menyempurnakan kelebihan pukulan sudut penalti pada minit ke-11 dan ke-12.

Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal menambah jaringan ketiga buat kem negara menerusi gerakan padang pada minit ke-15 sebelum Muhammad Najib Abu Hassan melengkapkan gol kemenangan Malaysia pada minit ke-22 juga menerusi jaringan padang.

Pada aksi awal pagi tadi, Malaysia bagaimanapun terlebih dahulu dikejutkan dengan jaringan awal Ireland pada minit ketiga menerusi gol padang Jeremy Duncan sebelum skuad negara berjaya menutup kelebihan gol pasukan lawan itu.

Dua minit sebelum masa perlawanan berakhir, Ireland menambah satu lagi gol hasil kelebihan pukulan sudut penalti yang disudahkan oleh Luke Madeley dan sekaligus menutup perlawanan ujian antara Malaysia – Ireland dengan kemenangan berpihak kepada pasukan negara, 4-2.

Kemenangan yang diraih skuad negara hari ini pastinya menjadi lebih manis buat dua pemain iaitu, Zulpidaus Mizun yang mengumpul caps antarabangsa pertama bersama Skuad Senior Kebangsaan semalam, sementara hari ini giliran Shello Silverius mengumpul caps antarabangsa pertamanya.

Pengendali Skuad Senior Lelaki Kebangsaan, A Arulselvaraj nyata bangga dengan anak-anak buahnya yang mengambil ikhtibar daripada kekalahan pada aksi pertama untuk lebih bersedia mencari kemenangan dalam aksi kedua bertemu Ireland.

“Satu persembahan yang betul-betul memberangsangkan dan positif untuk mereka bangkit kembali daripada kekalahan semalam.

“Kami mendapat tiga kelebihan pukulan sudut penalti dan Razie Rahim menjaringkan dua daripadanya sementara Ireland dihadiahkan dengan lebih banyak pukulan sudut penalti berbanding kami.

“Jaringan gol padang menerusi Azrai Aizad dan Najib Hassan juga menunjukkan dalam pasukan kami ramai pemain yang boleh menjaringkan gol padang,” katanya.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: