PENYERANG Kelantan United FC, Zafuan Azeman belum berputus asa untuk terus merebut tempat kesebelasan utama dalam misi membantu pasukan di pentas Piala Malaysia musim ini.
Zafuan mengakui persaingan semakin sengit untuk merebut posisi memandangkan penyerang seperti Fakhrul Zaman, Alfusainey Gassama dan Masashi Motoyama sentiasa menjadi pilihan utama untuk beraksi.
Namun, itu tidak menghalang untuk bekas pemain kelab Divisyen Tiga Thailand, Anthong FC ini terus berusaha bagi memastikan dia berpeluang membuktikan kemampuan dalam baki perlawanan peringkat kumpulan Piala Malaysia sebaik sahaja saingan bersambung pada 29 Oktober ini.

“Saya sempat beraksi untuk enam perlawanan sahaja, tetapi ada juga saya diletakkan sebagai pemain simpanan, cuma peluang untuk diturunkan agak sengit.
“Tetapi, saya tidak akan putus asa untuk berusaha sebab Piala Malaysia masih ada lagi empat perlawanan selepas ini, jadi saya memang sasarkan untuk rebut peluang bermain.
“Penyerang-penyerang lain juga semuanya memang berkualiti dan saya anggap ini sebagai persaingan yang sihat untuk cuba merebut tempat”, jelasnya.
Ketika ini, aksi Gassama juga tidak mengecewakan selepas berjaya meledak 11 gol manakala Fakhrul dua gol dalam 20 perlawanan Liga Premier musim ini.
Manakala, Zafuan pula hanya sempat membuat enam penampilan sahaja dalam saingan liga dan nyata ia masih belum memuaskan.
Kelantan United ketika ini masih belum meraih sebarang mata dalam aksi Kumpulan C selepas tewas kepada Kedah Darul Aman FC dan Negeri Sembilan FC tempoh hari.
Add Comment