
Oleh : SUBKHI SUDARJI
IRFAN Zakaria dan Dominic Tan kini memiliki peluang terbaik membuktikan kemampuan beraksi sebagai pertahanan negara menjelang aksi menentang persahabatan antarabangsa menentang Jordan malam ini.
Kedua pemain ini dijangka bergandingan dengan pemain senior yang juga ketua pasukan Aidil Zafuan selepas pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menyenaraikan tiga pemain pertahanan ini untuk dua aksi persahabatan nanti.
Tiga lagi pemain pertahanan tengah iaitu Shahrul Nazeem, Dion Johan Cools dan Shahrul Nizam Ros Hasni sepatutnya menyertai pasukan kebangsaan kali ini namun atas beberapa faktor, ketiga-tiga pemain tidak dapat dibawa.
Shahrul Nazeem dan Dion Cools mengalami kecederaan ketika beraksi bersama kelab masing-masing manakala Shahrul Nizam gagal dihubungi ekoran turun ke laut.
Bagi Cheng Hoe, dua perlawanan persahabatan ini merupakan medan terbaik untuk menilai pemain sebagai persiapan awal bagi membentuk skuad terbaik Harimau Malaya menjelang Piala Suzuki AFF 2020 dari 5 Disember 2021 hingga 1 Januari 2022 dan seterusnya Pusingan 3, Kelayakan Piala Asia 2023 pada tahun hadapan.
“Kita akan berikan peluang buat pemain mempamerkan aksi, perlawanan ini penting buat semua pemain dan kita mengharapkan keputusan positif mampu dilakar pasukan sebagai persiapan membentuk pasukan yang lebih kuat,” katanya.
Untuk rekod, Irfan pernah beraksi bersama Aidil ketika perlawanan persahabatan menentang Bahrain pada bulan Mei lalu namun beliau melakukan kesilapan dengan menghadiahkan sepakan penalti kepada lawan sebelum Tan Cheng Hoe menukarkan dengan pemain lain.
Bagaimanapun, beliau masih boleh menebus kesilapan tersebut dengan mempamerkan aksi yang lebih baik dan seterusnya memikat Cheng Hoe untuk disenaraikan dalam skuad Piala Suzki AFF 2020.
Malah, gandingan Irfan dengan Dominic turut dinanti-nantikan oleh peminat bola sepak tempatan kerana mereka berdua merupakan tonggak pertahanan yang membantu skuad bawah 23 tahun negara mara ke suku akhir ketika saingan Piala Asia B-23 di China pada 2018.
Add Comment