Bola Sepak

Dollah terus cari ramuan


KETUA jurulatih Sri Pahang FC, Dollah Salleh akan memikirkan jalan terbaik untuk memastikan pasukan tidak tersingkir awal dalam saingan Piala Malaysia musim ini bagi mengelakkan tragedi 2016 berulang kembali.

Juara empat kali Piala Malaysia ketika itu berada di bawah bimbingan Razip Ismail pada musim 2016 yang menyaksikan mereka gagal ke suku akhir sebelum Dollah Salleh kembali mengendalikan pasukan pada musim 2017 dan berjaya mara sehingga ke separuh akhir pada tahun 2019.

Justeru, pengendali berusia 58 tahun ini menyifatkan masih belum terlambat untuk barisan pemain kembali mendapatkan prestasi terbaik bagi terus berjuang memburu kemenangan pertama selepas dua kali tewas dalam aksi kumpulan A ketika ini.

Dollah enggan mengibarkan bendera putih dalam saingan Piala Malaysia 2021 dan akan tetap memburu slot ke pusingan seterusnya.

“Secara jujur, memang saya boleh katakan agak bergelut untuk mara ke suku akhir, tetapi sekarang bukan masa untuk mengangkat bendera putih sebab macam-macam mana pun kami kena terus berjuang juga.

“Sekarang saya nak pemain-pemain lupakan apa yang pasukan sudah lalui sebelum ini dan fokus untuk perlawanan akan datang sebab kalau mereka terus fikirkan kekalahan demi kekalahan yang lepas, memang benda ini akan berterusan seperti itu.

“Masing-masing kena fikir macam mana kita nak atasi benda ini dan untuk dapatkan balik kemenangan sebab kita bukan tiada peluang, masih ada peluang lagi nak menang, cuma kena lebih positif dan perbaiki balik kelemahan”, jelasnya.

Dalam masa sama, Dollah mengakui tidak terlalu tertekan memikirkan posisinya selaku ketua jurulatih disebalik prestasi pasukan yang tidak menentu ketika ini kerana apa yang lebih penting adalah untuk meletakkan kembali Sri Pahang ke kedudukan yang lebih baik.

“Sebenarnya saya sudah lali dengan benda-benda seperti ini sebab macam-macam rintangan saya dah tempuh dalam karier.

“Ada pahit dan ada manis, jadi saya tiada nak fikir negatif sangat pun mengenai perkara macam ini dan nak cakap tertekan sangat pun, tiada la sampai macam tu.

“Yang penting sekarang, saya tetap positif dan saya lebih fikirkan untuk macam mana kita nak tempuh bagi perlawanan-perlawanan akan datang, itu sahaja”, tambahnya.

Sri Pahang kini masih lagi gagal meraih sebarang mata selepas tewas dalam dua perlawanan ketika menentang Kuala Lumpur City FC dan Sarawak United FC.

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading