Hoki

Malaysian Tigers raih kemenangan pertama

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

SELEPAS dua seri dan satu kekalahan, skuad Senior Lelaki Kebangsaan meraih kemenangan 3-1 mengatasi menentang pasukan berstatus kelab Beeston H.C pada Siri Jelajah United Kingdom 2021 di Nottingham Hockey Centre, semalam.

Muhammad Razie Abd Rahim muncul penjaring hatrik pada perlawanan tersebut selepas menyempurnakan tiga pukulan sudut penalti pada minit ke-12, 35 dan 42, sementara jaringan tunggal Beeston H.C juga menerusi pukulan sudut penalti yang terhasil pada minit ke-18.

10 perlawanan sepanjang siri jelajah telah diatur buat mereka dan empat aksi persahabatan bertemu pasukan berstatus kelab tamat dengan satu kemenangan, dua seri dan satu tewas.

Berbaki enam perlawanan seterusnya, Malaysian Tigers akan dicabar oleh Skuad Kebangsaan Ireland, Wales dan Perancis, di mana empat daripada baki enam perlawanan tersebut merupakan Perlawanan Ujian (test match).

Ketua Jurulatih, Skuad Senior Lelaki Kebangsaan, A Arulselvaraj memuji sikap pemain-pemainnya yang berjuang dengan semangat yang tinggi untuk mencari kemenangan pertama menentang pasukan berstatus kelab, walaupun anak-anak buahnya terpaksa mengharungi satu perjalanan yang jauh (3 jam) untuk sampai ke venue perlawanan.

“Kemenangan pertama 3-1 merupakan daripada jaringan pukulan sudut penalti menerusi Razie Rahim di mana kami memperolehi empat pukulan sudut penalti dan beliau menjaringkan tiga daripadanya sementara lawan memperolehi lima pukulan sudut penalti.

“Dari segi perlawanan hari ini, pemain mengawal permainan dengan baik, lebih teratur dan bermain dalam tempoh perlawanan yang agak tinggi.

“Kemenangan hari ini juga akan menaikkan lagi semangat para pemain kerana ini merupakan aksi terakhir bertemu kelab di sini.

“Hari ini kami akan bertolak ke Ireland untuk bertemu dengan pasukan kebangsaan Ireland bagi perlawanan ujian, jadi kemenangan ini adalah satu pembakar semangat untuk mereka,” jelas Arulselvaraj.

Sementara itu, pemain tengah pasukan kebangsaan, Meor Muhammad Azuan Hassan menyifatkan kemenangan yang diraih oleh pasukannya hari ini adalah satu pemangkin semangat buat mereka menjelang Perlawanan Ujian.

“Syukur Alhamdulillah, ini kemenangan pertama kami menentang pasukan kelab England dan kami akan menjadikan kemenangan hari ini sebagai persediaan bagi bertemu Ireland serta Wales.

“Perlawanan sebelum ini kami berjaya menjaringkan gol menerusi gerakan padang ketika bertemu Hampstead & Westminster H.C dan ia sesuatu yang cukup baik untuk pasukan dapat menjaringkan gol padang.

“Hari ini pula kami menjaringkan gol menerusi pukulan sudut penalti dan tiga gol tersebut cukup baik untuk kami kerana keseimbangan dalam menjaringkan gol dapat dilihat dan kami akan melakukan persediaan lebih lagi untuk bertemu Ireland dan Wales,” ujar Meor Hassan.

Aksi kelima skuad negara dalam Siri Jelajah United Kingdom 2021 akan bersambung pada Rabu, 6 Oktober jam 1.30 pagi waktu Malaysia di mana ia juga merupakan Perlawanan Ujian (test match) pertama mereka dalam siri jelajah ini.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: