Bola Sepak

“Cadangan Fifa adakan Piala Dunia secara dwitahunan beri kebaikan” – Hamidin


Hamidin menghadiri Sidang Kemuncak ‘Future of Football’  yang berlangsung pada Khamis malam. 

PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, menyifatkan cadangan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) mengadakan Piala Dunia lelaki dan wanita diadakan secara dwitahunan berbanding empat tahun sekali ini akan memberi impak besar buat industri bola sepak global.

Hamidin yang turut menghadiri Sidang Kemuncak ‘Future of Football’ secara maya bersama Presiden Fifa, Gianni Infantino dan wakil dari lebih 211 negara anggota Fifa yang lain mengakui ianya antara usaha badan induk dunia itu mentransformasikan masa depan bola sepak menerusi perencanaan jadual pertandingan bersifat global.

“Sidang kemuncak ini memberi kami pemahaman yang lebih baik, telus dan tepat mengenai pendekatan Fifa – Future of Football terutama dalam pelaksanaan Piala Dunia lelaki dan wanita secara dwi-tahunan dalam misi meningkatkan kualiti bola sepak di seluruh dunia.

“Future of Football memiliki peranan penting dalam pembangunan dan pertumbuhan bola sepak yang mapan di segenap pelosok dunia.

Saifuddin turut hadir pada Sidang Kemuncak ‘Future of Football’.

“Cadangan Fifa ini juga memberi kebaikan buat negara anggota dalam membuka peluang menjadi tuan rumah Piala Dunia selain dapat mengurangkan masa perjalanan pemain sekaligus mampu memastikan tempoh rehat mencukupi bagi pemain antara musim,” jelas Hamidin dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pada dasarnya Fifa mengajak semua negara anggotanya membincangkan cadangan Piala Dunia secara dwitahunan serta reformasi terhadap Kalendar Perlawanan Antarabangsa atau International Match Calendar (IMC) selepas 2024 yang bakal memudahkan pemain senior atau remaja lelaki dan wanita dilepaskan oleh kelab masing-masing untuk menyertai aksi antarabangsa.

Sidang kemuncak itu diadakan sebagai sebahagian daripada proses Fifa mendapatkan maklum balas daripada semua pemegang taruh dalam usaha membawa dimensi baharu ke dalam penjadualan bola sepak antarabangsa serta mewujudkan keseragaman untuk bola sepak lelaki dan wanita serta remaja.

Turut hadir mengiringi Hamidin secara maya, Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar.

Dalam sidang itu, Ketua Pembangunan Bola Sepak Global Fifa, Arsène Wenger dan Penasihat Khas Pembangunan Bola Sepak Wanita, Jill Ellis, membentangkan cadangan dan analisis kajian masing-masing.

Dua cadangan pertandingan belia Fifa dibentangkan, dengan pendekatan standard untuk kejohanan lelaki dan perempuan merangkumi pertandingan B-17, B-16 dan B-18 diadakan secara tahunan.

Perancis juara Piala Dunia 2018.

Pelan jangka panjang Fifa termasuk menampilkan 50 pasukan negara dan 50 kelab terbaik untuk bersaing di peringkat tertinggi bola sepak lelaki dan wanita, sejajar dengan perancangan Infantino dalam Visi FIFA 2020-2023.

Sidang kemuncak yang bermula jam 9 malam waktu Malaysia (30 September) berlangsung empat jam ini turut menyediakan konsep pertandingan bola sepak wanita global dan cadangan perlaksanaan pertandingan belia yang menerima sokongan FAM.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading