Bola Sepak

Piala Malaysia masih punyai magis, hampir 5 juta tonton di YouTube Unifi

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Aksi Kedah Darul Aman FC dan Kelantan United terima jumlah tontonan paling tinggi.

Oleh: JJFIRDAUS

KEJOHANAN TM Piala Malaysia masih mempunyai magis dan berjaya menarik minat jutaan penyokong apabila perlawanan pertama peringkat kumpulan berjaya meraih hampir 5 juta tontonan menerusi platform YouTube Unifi.

Menerusi data yang diperolehi, perlawanan di antara juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kelantan mencatat jumlah tontonan tertinggi dengan 1.1 juta penonton. Angka ini tidak termasuk jumlah tontonan di platform Unifi TV.

Penyokong dilihat masih memberikan sokongan kepada pasukan masing-masing meskipun masih tidak dibenarkan hadir ke stadium dan kerinduan itu dileraikan menerusi siaran langsung di pelbagai platform yang disediakan.

 

Satu lagi perlawanan melibatkan kelab dari Pantai Timur, Kelantan United dan Kedah Darul Aman FC di Stadium Darul Aman turut mencatat angka memberangsangkan dengan 791,000 tontonan.

Ini diikuti pula dengan perlawanan di antara Selangor dan Perak dengan 640,000 penonton dan Terengganu FC menentang Kuching City pula berjaya menarik minat 545,000 penonton.

Perlawanan yang mencatatkan keputusan mengejut, Pulau Pinang dan Sarawak United berjaya meraih 514,000 tontonan dan ini adalah angka yang baik buat kedua-dua pasukan yang mempunyai penyokong yang ramai.

Perlawanan Kuala Lumpur City dan Sri Pahang serta Melaka United dan Negeri Sembilan masing-masing mencatatkan jumlah tontonan yang hampir sama iaitu 416,000 dan 413,000 penonton.

Perlawanan Sri Pahang dan KL City turut mencuri perhatian penonton. Foto: MFL

Gol hebat Park Tae Su ketika Sabah menentang PJ City di Petaling Jaya pula telah disaksikan oleh 378,000 penonton sekaligus membuktikan bola sepak tempatan sememangnya mempunyai banyak peminat.

Angka-angka ini seharusnya digunakan oleh pengelola liga untuk menarik lebih banyak penaja kerana setiap perniagaan pastinya mahu mendapatkan perhatian hampir 5 juta mata hanya dalam masa dua malam.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: