Hoki

Permulaan positif Malaysian Tigers

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Kedua-dua pasukan bergambar sebelum perlawanan berlangsung dengan keputusan yang berkesudahan 2-2.

SKUAD Senior Lelaki Kebangsaan membuka tirai Siri Jelajah United Kingdom 2021 dengan keputusan seri 2-2 bertemu Old Georgians HC, pada aksi yang berlangsung di St. Georges College, malam tadi.

Malaysian Tigers berjaya memimpin perlawanan sehingga suku ketiga apabila Muhammad Najib Abu Hassan membuka tirai jaringan menerusi gol padang pada minit ke-13 sebelum Muhammad Shahril Saabah menggandakan jaringan pada minit ke-41 menerusi gol pukulan sudut penalti.

Bagaimanapun Old Georgians bangkit mengejar kedudukan tersebut dengan dua gol penyamaan pada minit ke-44 dan 58 menerusi gol padang yang sekaligus menyaksikan pertemuan tersebut berkesudahan seri 2-2.

Ketua Jurulatih Skuad Senior Lelaki Kebangsaan, A Arulselvaraj menyifatkan pertemuan dengan pasukan kelab Old Georgians merupakan satu perlawanan yang berkualiti kerana pasukan lawan itu membariskan pemain kebangsaan Great Britain dan keputusan seri yang diraih adalah satu permulaan yang baik.

“Ini permulaan yang memuaskan selepas hampir empat setengah bulan tanpa latihan dan permainan.

“Untuk beraksi di luar dan persembahan yang diberikan setakat ini adalah amat bagus walaupun kami bertemu pasukan kelab tetapi kelab ini membariskan 10 hingga 11 pemain kebangsaan Great Britain dan ini merupakan satu perlawanan yang berkualiti.

“Pasukan lawan mendapat lima pukulan sudut penalti berbanding kami yang hanya mendapat dua pukulan sudut penalti. Untuk permulaan, perlawanan pertama selepas sekian lama, ia adalah permulaan yang baik dengan keputusan seri 2-2,” ujar Arulselvaraj.

Dalam pada itu, Faiz Helmi Jali menyifatkan perlawanan persahabatan bertemu pasukan berstatus kelab merupakan satu pendedahan yang cukup baik buatnya dan rakan sepasukan sebelum beraksi pada perlawanan ujian selepas hampir empat bulan pasukan tidak bersama ekoran Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan baru-baru ini.

“Selepas perlawanan pertama, banyak yang perlu diperbaiki tetapi ini adalah sesuatu yang cukup bagus untuk semua pemain kerana selepas empat bulan tidak bersama, ini perlawanan pertama kami kembali bersama sebagai satu pasukan.

“Perlawanan persahabatan ini merupakan satu pendedahan yang bagus buat kami iaitu bertemu pasukan berstatus kelab terlebih dahulu sebelum kami bertemu Ireland bagi perlawanan ujian,” jelas Faiz Helmi.

Malaysia akan turun menentang Kelab Hoki Surbiton untuk aksi persahabatan kedua pada Rabu, 29 September jam 2.30 pagi waktu Malaysia, di Surbiton Hockey Club.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: