Bola Sepak Komentar

Sentimental Piala Malaysia sejak 1967, transisi ‘gila’ Zainal pada final 1983

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Laporan final Piala Malaysia Selangor dan Pahang 1983.

Oleh MOHD FARIQ

MALAM ini bermulalah upacara terakhir dalam kalendar Liga Malaysia sebaik TM Piala Malaysia membuka tirainya.

Mungkin tahun ini kita semua mengharapkan sesuatu yang menarik bakal berlaku dalam kejohanan paling tertua dalam Asia ini bersempena ulangtahun ke-100 Piala Malaysia.

Sepanjang pengalaman penulis turun padang, setiap pentas final sentiasa memberikan memori tersendiri kepada penulis.

Namun antara siri-siri perlawanan akhir Piala Malaysia yang mungkin penulis tidak dapat lupakan adalah edisi pada tahun 1983.

Prebiu final Piala Malaysia 1983.

Ini kerana bagi pandangan peribadi penulis ia merupakan medan kebangkitan legenda bola sepak negara, Zainal Abidin Hassan ketika membantu Pahang menjulang trofi Piala Malaysia menewaskan Selangor 3-2 di Stadium Merdeka.

Penulis masih mengingati pada final Piala Malaysia tahun 1983, penulis berada di Stadium Merdeka dan seperti biasa, penulis tidak terlepas final.

Ketika itu penulis masih menuntut di sekolah rendah dan hanya tuhan sahaja mengetahui betapa keterujaan penulis menantikan bahang ketika berada di Stadium Merdeka yang menemukan Selangor melawan Pahang.

Inilah antara salah satu final Piala Malaysia yang penulis tidak dapat lupakan dan untuk pengetahuan semua, inilah kali pertama Pahang muncul pasukan yang membawa aura import ke bola sepak Malaysia bermula jurulatih dan juga dua pemain Singapura, T. Pathmanathan dan R. Suriamoorthy.

Laporan-laporan mengenai Piala Malaysia 1983.

Di sebalik kejayaan pertama Pahang menjulang pertama kali Piala Malaysia, di sinilah bermula episod permulaan karier Zainal menjadi salah seorang penyerang yang disegani di peringkat tempatan mahupun antarabangsa,

Ketika itu jurulatih Pahang, Frank Lord dari England telah bertanggungjawab menukar posisi Zainal daripada pertahanan menjadi penyerang.

Tidak dilupakan pada tahun 1983 juga, Zainal telah bermain separuh musim bersama Selangor sebelum menyertai Pahang pada baki musim dan terus membantu Pahang dalam final untuk mengalahkan Selangor.

Malam itu cukup epik. Perlawanan kesudahan 1-1 tetapi Pahang berjaya mendapatkan dua gol menerusi Zainal dan Pathmanathan dalam masa tambahan dan sebelum Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari menjaringkan gol kedua Selangor tetapi keputusan 3-2 kekal sehingga tamat perlawanan.

Bukan sahaja penulis tetapi penyokong-penyokong ketika itu pulang dengan penuh kepuasan. Masing-masing merasai kenikmatan dan keindahan turun ke stadium apatah lagi ia adalah pentas final Piala Malaysia.

Mungkin juga final Piala Malaysia 1978 juga antara momen yang menarik untuk dikongsikan kepada generasi sekarang di mana Selangor berjaya membuat kebangkitan biarpun ketinggalan dua gol tetapi berjaya menewaskan Singapura 4-2 di Stadium Merdeka.

Laporan final Piala Malaysia 1978.

Ketika itu legenda-legenda Selangor antaranya seperti Datuk K Rajagobal, Datuk Mokhtar Dahari, Datuk Soh Chin Aun antara nama-nama besar yang menghiasi skuad Gergasi Merah muncul sebagai pasukan paling banyak dominasi trofi Piala Malaysia.

Tidak dilupakan juga kejayaan Perak yang menjadi pasukan pertama memenangi Piala Malaysia yang dijenamakan semula pada 1967 di mana sebelum itu dikenali Piala Malaya sejak 1921 selepas menewaskan Singapura 2-1 di Stadium Merdeka antara perlawanan epik yang berlaku dalam kejohanan ini.

Prebiu final Piala Malaysia pertama 1967 selepas pertukaran nama dari H.M.S Malaya.

Setahun kemudian, perlawanan yang menjadi sebutan dalam sejarah Piala Malaysia adalah kejayaan Selangor berpesta gol membelasah Pulau Pinang 8-1 dalam pentas final Piala Malaysia 1968 di Stadium Bandaraya Pulau Pinang.

Laporan perlawanan akhir Selangor dan Pulau Pinang 1968.

Ketika itu, Selangor yang diketuai Abdullah Noordin menjadi pasukan hampir sempurna dalam setiap posisi dan kemenangan itu juga menyaksikan N. Thanabalan mencatatkan rekod pemain paling banyak menjaringkan empat gol dalam pentas final Piala Malaysia dan rekod itu bertahan sehingga hari ini.

Thanabalan menerima anugerah daripada Presiden FAM ketika itu Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah.

Kesimpulannya kejohanan Piala Malaysia telah banyak menyimpan ribuan memori yang bukan sahaja bermakna kepada pasukan, jurulatih atau pemain sebaliknya ia juga berhubung kait dengan peminat-peminat setia mereka.

Secara peribadi penulis percaya sokongan yang diberikan pasukan sejak 100 tahun yang lalu bukanlah berlandaskan emosi semata-mata tetapi rasa kasih sayang , komitmen dan kesetiaan tidak berbelah kepada pasukan kesayangan diberikan lebih daripada 100 peratus.

Oleh sebab itu penyokong-penyokong boleh tidak boleh menerima kekalahan tetapi sebenarnya kami tidak boleh terima jika ada mana-mana pemain terlibat di dalam skandal atur perlawanan selepas memberikan segala-galanya kepada pasukan yang dicintai.

Barisan pemain Selangor yang menjulang trofi bersejarah Piala Malaysia 1968 selepas menewaskan P. Pinang 8-1. 

Justeru bersempena ulangtahun ke-100 Piala Malaysia, penulis berharap kejohanan ini bukan sahaja bakal berjalan dengan lancarnya tetapi skandal-skandal yang merosakkan imej Piala Malaysia antaranya rasuah dapat dibasmi sepenuhnya.

Akhir kata daripada penulis, tinggal pihak kerajaan sahaja memainkan peranan penting buat rakyat supaya penyokong-penyokong dibenarkan kembali bertandang ke stadium dalam misi untuk berada lipatan sejarah ulangtahun ke-100 Piala Malaysia.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: