
PASUKAN bola sepak wanita negara berjaya mencatat kemenangan 2-0 pada aksi kedua Kumpulan H bertemu Palestin pada aksi Kelayakan Piala Asia 2022 yang berlangsung di Stadium Faisal Al-Hussaini Tebing Barat, Palestin pada Rabu.
Skuad kendalian Jacob Joseph ini bangkit daripada kekalahan 0-4 bertemu Thailand Ahad lalu dengan mempamerkan permainan yang lebih kemas.
Malayan Tigress mendominasikan permainan dengan beberapa peluang jaringkan gol, namun ketiadaan penyudah tajam menyaksikan permainan berakhir tanpa jaringan pada separuh masa pertama.

Namun, corak permainan skuad negara lebih rancak pada babak kedua yang menyaksikan gol pertama berjaya dicipta pemain Malaysia menerusi Andrea Lee pada minit ke-57.
Pujian seharusnya diberikan kepada barisan pertahanan yang dipimpin kapten Steffi Sarge Kaur Sergeant Singh dengan memastikan tiada pergerakan atau percubaan berbahaya daripada pasukan tuan rumah sejak awal permainan bermula.
Pada minit ke-80, skuad negara sekali lagi menambah gol menerusi sepakan percuma yang dilakukan Steffi.
Pemain tinggi lampai berusia 33 tahun ini sememangnya mempunyai kelebihan melakukan sepakan jauh dan menggunakan peluang ini sebaiknya selepas 10 tahun meninggalkan bola sepak padang.
Mendahului dua gol, pemain-pemain negara tidak leka dan terus cuba mengasak kubu pertahanan Palestin selepas Jacob melakukan beberapa pertukaran di bahagian tengah.
Apa yang menggembirakan buat skuad wanita ini apabila wisel akhir dibunyikan dengan kemenangan berpihak kepada Malaysia.

Kemenangan ini pastinya begitu bermakna selepas hampir dua tahun tanpa sebarang aksi domestik mahupun antarabangsa. Sekurang-kurangnya mereka telah menggunakan peluang ini sebaik mungkin dan tidak balik dengan tangan kosong.
Bagaimanapun, Malaysia tersingkir untuk ke Piala Asia 2022 memandangkan hanya juara kumpulan sahaja yang layak.
Malaysia berada dalam Kumpulan H bersama Thailand dan Palestin.
kejohanan Piala Asia 2022 bakal berlangsung di India pada 20 Januari hingga 6 Februari depan.
Add Comment