Bola Sepak Komentar

Perginya seorang legenda Ken Worden… masih tergiang rahsia ketakutannya

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Worden (tengah) bersama pasukan Selangor 1994. Foto: Persatuan Bekas Pemain Bolasepak Selangor.

Oleh: MOHD FARIQ

DUNIA bola sepak negara dikejutkan dengan pemergian bekas jurulatih Selangor, Ken Worden pada malam ini.

Perkhabaran itu disahkan oleh Bolasepak Tasmania menerusi laman media sosialnya di mana Ken Worden meninggal dunia ketika berusia 78 tahun.

Bagi penyokong-penyokong bola sepak sekitar 90-an, Ken Worden bukanlah satu nama yang cukup asing di dalam Liga Malaysia.

Mengimbau kembali memori silam, penulis mengenali Ken Worden ini bermula dari tahun 1993 ketika penulis memulakan tugas kewartawanan pada tahun pertama penulis sebagai wartawan.

Kali pertama bertemu dengan beliau ketika penulis masih berada di bawah bimbingan wartawan wartawan senior (Tony Mariadass, Johnson Fernandez) dan mereka memperkenalkan penulis kepada Ken Worden.

Namun ketika itu Ken Worden yang menjadi pengendali skuad Gergasi Merah pada tahun 1991, masih menjadi jurulatih pasukan kebangsaan Malaysia sebelum beliau kembali melatih pasukan Selangor pada 1994.

Dan bermula tahun 1994, tahun yang sama Stadium Shah Alam di buka, ia membuatkan hubungan kami lebih erat tetapi sepanjang karier penulis membuat liputan untuk Ken Worden sudah pasti ada pasang surutnya.

Tidak dapat dinafikan kami pernah berkelahi dan berbeza pendapat tentang pemain-pemain yang diturunkan semasa itu, penulis pernah mempersoalkan taktikal beliau.

Namun Ken Worden tetap seorang jurulatih yang profesional bagi penulis dan banyak pemain-pemain hebat bermain di bawah kendalian beliau.

Hasilnya beliau berjaya membantu Selangor memenangi Piala FA (1991), Piala Malaysia (1995,1996,2002) dan Piala Sumbangsih pada tahun 1996 dan 2002.

Keghairahan Ken Worden terhadap bola sepak luar biasa.

Masakan tidak, beliau antara salah satu jurulatih import penulis kenali yang sanggup mencuri masa dengan ‘tawaf’ seluruh Selangor untuk turun pandang melihat Liga Selangor, liga daerah dan liga sekolah semata-mata mengintai pemain-pemain.

Jarang jurulatih-jurulatih Selangor berbuat demikian dan itulah sebab kenapa penulis mengatakan Ken Worden adalah antara jurulatih yang unik.

KEN WORDEN TRAUMA DENGAN PERKATAAN RASUAH

Sepanjang persahabatan kami, kenangan ketika penulis bersama Ken Worden membuat liputan pra-musim di Australia pada tahun 1995.

Ketika itu penulis memiliki peluang berkongsi hati ke hati dengan sosok pengendali berjiwa kental ini yang membicarakan sesuatu mengejutkan penulis ketika itu.

Lebih tepat, Ken Worden menceritakan penulis apakah ‘ketakutan’ beliau dalam kariernya sebagai jurulatih bola sepak.

Beliau berkata ketika itu: “Saya boleh mencuba pelbagai taktik di dalam sesi latihan, cuba mempraktikkan apa yang mekanik baharu atau taktikal dan sebagainya.

“Namun ia masih belum membuatkan saya dengan tenang kerana sejujurnya saya masih tidak dapat tidur sehingga hari perlawanan.

Worden akan terus diingat sebagai jurulatih legenda.

“Ini kerana perkara yang ditakuti oleh saya bukanlah pasukan lawan sebaliknya pasukan saya sendiri. Saya akui kadang-kadang saya terlalu takut dengan pemain sendiri yang terjerumus dengan skandal rasuah di mana isu rasuah sering kali didengari oleh para jurulatih.

“Bagi saya pemain yang mengambil rasuah bukan sahaja menipu jurulatih tetapi beliau juga menipu pihak pengurusan dan penyokong dengan menjual perlawanan dan itulah ketakutan terbesar saya di dalam dunia bola sepak.”

Kebetulan setahun sebelum itu bola negara dilanda skandal rasuah.

Selamat berehat legenda Selangor, Sabah dan Terengganu. Namamu sentiasa dikenang dan terpahat dalam dunia bola sepak Malaysia.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: