
JUARA tenis wanita Terbuka Amerika Syarikat (AS) Emma Raducanu memberitahu dia sangat berterima kasih dengan pujian dan sokongan daripada salah seorang jurulatih bola sepak terbaik dunia.
Pemain berusia 18 tahun itu menjadi perhatian seluruh peminat sukan global selepas merangkul trofi Grand Slam pertama apabila menewaskan seorang lagi pemain remaja berusia 19 tahun, Leylah Fernandez di pentas akhir di New York tiga minggu lalu.
Salah seorang yang turut menjadi peminat Emma ialah pengurus Liverpool Jurgen Kloop yang mengakui kedua-dua pemain tenis muda itu sangat mengagumkan.
“Apa yang ditunjukkan oleh kedua-dua gadis remaja ini yang berusia 18 dan 19 tahun ini sangat mengagumkan.
“Ia termasuk ketika perlawanan di antara kedua-dua pemain ini, ketika penyampaian trofi. Cara mereka bercakap pada usia 18 dan 19 tahun sangat memberi inspirasi.
“Saya benar-benar terharu dengan cara mereka membawa diri masing-masing.
“Jika anda berusia 18 tahun dan menang Terbuka AS, hanya satu sahaja yang jelas berlaku dalam tempoh 10-15 tahun lalu – kerja keras.

“Raducanu sudah pasti mempunyai bakat semulajadi, namun tanpa kerja keras ia mustahil untuk berada di situ.
“Ia sesuatu yang menarik boleh bayangkan apabila melihat dia tersenyum ketika perlawanan. Selepas ini saya akan pastikan untuk melihat lebih banyak perlawanan tenis wanita berbanding beberapa tahun sebelum ini,” ujar Klopp.

Sementara itu, Emma mengakui apa yang dikatakan Klopp itu sangat baik untuk didengari.
Malah dia juga turut berterima kasih kerana Klopp bercakap secara terbuka mengenai tenis wanita dan berharap ia dapat membantu menaikkan lagi profil sukan ini.
“Sangat,sangat menarik dan menghargainya,” ujar Emma.
Add Comment