Bola Sepak

Kedah Darul Aman FC ke Piala Asia, Penang FC cipta sejarah

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Aidil Sharin Sahak

 

HARI terakhir persaingan Liga Super menyaksikan Kedah Darul Aman FC berjaya mengulangi pencapaian musim lalu untuk muncul naib juara Liga Super apabila menang selesa mengatasi Melaka United FC, 4-1 di Stadium Darul Aman.

Ketika Johor Darul Ta’zim (JDT) sudah mengesahkan kejuaraan Liga Super lebih awal, kemenangan Kedah pula menyaksikan ruang terus tertutup buat Penang FC dan Terengganu FC yang bertembung sesama sendiri di Stadium Bandaraya apabila kedua-dua pasukan terikat seri 2-2.

Ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC, Aidil Sharin Sahak menyifatkan apa yang dicapai oleh mereka adalah sesuatu yang sukar setelah pelbagai cabaran diharungi sejak dua musim lalu.

Selain itu, dia memuji semangat juang pemain-pemain walaupun terpaksa melalui jadual perlawanan yang padat sejak sebulan ini biarpun beliau dihantui masalah kecederaan serta kehilangan dua pemain utama, Kpah Sherman serta Rabih Ataya pada beberapa perlawanan terakhir ekoran mendapat panggilan skuad kebangsaan masing-masing.

“Sebelum perlawanan, saya ada memberitahu pemain untuk bermain tanpa sebarang tekanan dan nikmati sahaja 90 minit perlawanan sambil memberitahu yang mereka telah lakukan sesuatu yang hebat kerana bukan semua orang boleh berjaya mendapat tempat kedua.

“Saya rasa pencapaian ini bukan sesuatu yang mudah kerana sepanjang dua tahun berturut-turut kami berjaya menduduki tempat kedua, begitu banyak halangan yang terpaksa ditempuhi seperti liga yang berehat panjang kerana Covid-19, saingan Piala AFC dibatalkan namun mereka masih mamu beraksi cemerlang setakat ini.

“Kami tidak mempunyai skuad yang besar seperti Terengganu, Selangor atau JDT kerana saya hanya mempunyai 25 pemain namun angka itu berkurang apabila Rozaimi Abdul Rahman menarik diri dari skuad ini atas faktor keluarga, dua pemain saya mewakili pasukan negara dan Syazwan Tajudin pula tidak boleh bermain sehingga penghujung musim kerana kecederaan.

“Jadi saya ada 21 pemain termasuk tiga penjaga gol maka saya terpaksa membuat rombakan yang kerap sepanjang satu bulan ini termasuk perubahan posisi tetapi pemain tidak mengadu apa-apa yang negatif dan inilah hasilnya,” katanya.

Dalam perlawanan itu, Tchetche Kipre meledak dua gol pada minit 24 dan 31 sebelum Melaka United merapatkan jurang pada minit ke-50 melalui Adriano namun jaringan Baddrol Bakhtiar pada minit ke-67 serta Fayadh Zulkifli, minit ke-69 memastikan kemenangan mutlak buat Kedah bagi meraih 43 mata secara keseluruhan musim ini.

Sementara itu, Penang yang bermain dengan sepuluh pemain sejak minit ke-12 ekoran Abdul Latiff Suhaimi mendapat kad merah, mempamerkan semangat juang yang tinggi untuk meraih satu mata berharga bagi memastikan mereka menamatkan saingan di tangga ketiga.

Pencapaian itu dianggap cemerlang memandangkan Penang merupakan pendatang baharu Liga Super musim ini selepas muncul juara Liga Premier pada 2020 malah mencipta sejarah sebagai rekod paling cemerlang sejak musim 2002 (dikenali Divisyen Satu) apabila Penang pada waktu itu menduduki tempat ke-4.

Menurut ketua jurulatih Penang FC, Tomas Trucha, beliau sangat berpuas hati dengan pencapaian itu sambill menyifatkan kejayaan itu adalah untuk peminat yang sentiasa di belakang pasukan sepanjang musim ini.

Tomas Trucha

“Banyak perkara yang hebat berlaku buat Penang pada musim ini dan menduduki tempat ketiga, saya harap kami boleh nikmati saat ini setelah beraksi sedaya upaya.

“Peminat-peminat telah menghantar pelbagai pesanan serta video yang saya sempat tunjukkan kepada pemain sebelum bermula, kejayaan ini adalah untuk mereka yang tidak dapat menyaksikan perlawanan ini selain ada peminat yang saya diberitahu meninggal dunia kerana COVID-19.

Bagi mengulangi pencapaian ini untuk musim depan, saya dapat rasakan pasti sukar kerana banyak pasukan akan lebih berwaspada dengan Penang kerana mungkin ada sesetengah pasukan musim ini telah memandang rendah terhadap kekuatan kami,” katanya.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: