Bola Sepak

JDT lakar rekod 11 kemenangan berturut-turut

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Pertahanan KL City FC, Irfan Zakaria (kanan) cuba menghalang sepakan dari pemain tengah JDT, Nazmi Faiz Mansor.

Oleh : SUBKHI SUDARJI / IZARI ROSLI

JUARA Liga Super lapan kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) meraikan musim 2021 dengan rekod 11 kemenangan berturut-turut selepas menewaskan Kuala Lumpur City FC , 2-1 pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri sebentar tadi.

Walaupun sudah dinobatkan dengan gelaran kejuaraan namun Harimau Selatan tetap menurunkan kesebelasan terbaik bagi memburu mata penuh dan mengakhiri saingan dengan noktah kemenangan.

Skuad bimbingan Benjamin Mora tidak menunggu lama untuk berada didepan apabila Nazmi Faiz Mansor menyempurnakan hantaran jauh dari Shane Lowry untuk menolak masuk menewaskan penjaga gawang, KL City FC, Kevin Mendoza pada minit ke -15.

Ketinggalan 0-1 tidak melemahkan semangat pelawat yang bangkit mengatur gerakan memburu gol penyamaan dan akhirnya The City Boys memperolehi menerusi jaringan Muhammad Izreen selang 10 minit kemudian hasil gerakan menarik dijelmakan bersama Safee Sali dan Arif Shaqirin Suhaimi.

Tuan rumah seharusnya melangkah ke bilik persalinan dengan kelebihan satu gol namun tindakan penyudah lemah dari Syafiq Ahmad yang diturunkan selaku kesebelasan utama gagal menepati sasaran.

Memasuki babak kedua, pelawat terlebih dahulu memiliki peluang menjaringkan gol menerusi tandukan Daniel Ting pada minit ke 54 selepas mendapat hantaran dari sepakan percuma Akram Mahinan namun Farizal Marlias berada dikedudukan yang tepat untuk menangkap kemas percubaan tersebut.

Selang seminit kemudian giliran JDT pula menerusi Nazmi yang berjaya meloloskan diri dari kawalan pertahanan KL City namun sepakannya berjaya ditepis Kevin.

Asakan berterusan JDT bagi memburu gol kedua terhasil menerusi jaringan gol sendiri pemain pertahanan pelawat, Nik Shahrul Azim yang tertampan bola ke gawang sendiri ketika cuba menyekat hantaran pemain Safiq Rahim pada minit ke -69.

Skuad bimbingan Bojan Hodak turut berpeluang menjaringkan gol kedua menerusi percubaan Indra Putra Mahyuddin pada minit ke-81 namun Farizal bertindak cemerlang menafikan hasrat berkenaan dan keputusan 2-1 kekal sehinggalah tamat perlawanan.

 

 


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: