Bola Sepak Komentar

Dulu pemilik kelab (Seranta FC) kini Saifuddin ke Wisma FAM… bagaikan sireh pulang ke gagang

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Wisma FAS yang menjadi titik awal Saifuddin dalam pentadbiran awal bola sepak.

 

Oleh: MOHD FARIQ

MUNGKIN peribahasa itu tepat untuk mengambarkan kepulangan Mohd Saifuddin Abu Bakar ke pangkuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Dilantik sebagai Setiausaha Agung FAM sejak 1 September lalu, Saifuddin sebenarnya bukan muka baharu di dalam dunia bola sepak tempatan.

Penulis mula mengenali beliau sejak 1993, semasa itu beliau sudah masuk tahun ke dua  bertugas sebagai Pegawai Pembangunan Teknikal dan Remaja Persatuan Bolasepak Selangor (FAS).

Atau lebih tepat, Saifuddin memulakan kariernya di dalam pengurusan bola sepak bersama FAS di Wisma FAS, Jalan Maharajela Kuala Lumpur, pejabat pertama FAS, sejak penubuhan FAS pada 1936, di belakang Stadium Merdeka, gelanggang lagenda.

Siapa sangka Saifuddin yang menggalas tugas Presiden kelab Seranta FC ketika berusia 25 tahun pada tahun 1986 dan berjaya membimbing kelab itu menjadi dua kali juara Piala Raja Muda Selangor serta mengeluarkan produk pemain kebangsaan seperti Ashroff Hanafiah kini menduduki salah satu kerusi panas dalam badan sekretariat FAM.

FAM mengumumkan pelantikan Saifuddin sebagai Setiausaha Agung tiga hari lalu.

Selepas empat tahun di Wisma FAS, Saifuddin melebarkan langkahnya berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Pertandingan FAM pada 1995 sehingga 2003 sebelum menyertai Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sebagai Pegawai Pertandingan dan Pengurusan Acara Serantau dari 2003 hingga 2007.

Beliau juga memiliki pengalaman menguruskan pasukan Arab Saudi buat pertama kali untuk aksi kelayakan Piala Dunia Amerika Syarikat di mana ketika itu pada tahun 1994 Arab Saudi datang menjalani sesi latihan di Malaysia dan Saifuddin masih bersama dengan FAS.

Kehebatan anak kelahiran Melaka yang berusia 60 tahun dan pernah dilantik sebagai Penolong Setiausaha Agung pada 2007 sehingga 2009 bukan di peringkat domestik semata-mata.

Saifuddin terus gah melebarkan kariernya ke Timur Tengah dengan menjadi Penolong Ketua Pertandingan Qatar Stars League dan kemudiannya berkhidmat pula sebagai perunding teknikal Oman FA dengan skop tugas selaku Pengurus Pertandingan Liga dan Pelesenan Kebangsaan dari 2012 hingga 2019.

Untuk rekod, Saifuddin yang juga merupakan pemilik Seranta FC yang bermain di Liga Divisyen 1 Selangor melepaskan jawatan presiden pada tahun 2012 selepas memegang portfolio itu selama 26 tahun sebelum berhijrah karier ke Timur Tengah.

Saifuddin kini sebagai Setiausaha Agung FAM.

Pendek kata jika mahu disebutkan pengalaman Saifuddin, mungkin tidak cukup untuk satu komentar sahaja.

Betapa luasnya ilmu dan pengalaman yang dimiliki beliau dan sejujurnya penulis menganggap keputusan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin membawanya ke dalam dunia bola sepak tempatan adalah satu keputusan tepat.

Karakter tegas dan amanah kekuatan Saifuddin

Penulis melihat Saifuddin memiliki karakter yang cukup kuat dan mantap dalam kualiti sifat pemimpin.

Tegas, tidak mengamalkan sistem hedonisme dan nepotisme antara mengapa figura hebat seperti Saifuddin sentiasa menjadi satu contoh tauladan bagus kepada pengurusan bola sepak negara.

Maka tidak hairanlah mengapa beliau boleh berjaya di peringkat luar negara dan mungkin tidak keterlaluan juga bahawa kepulangan Saifuddin sangat dinanti-nantikan peminat.

Penulis selalu berbicara secara peribadi dengan Saifuddin dan dua perkataan penulis dapat simpulkan iaitu gila bola.

Beliau telah mengabdikan dirinya kepada bola sepak kerana Saifuddin benar-benar menyintai sukan ini.

Makan bola, tidur bola, mandi bola.. pendek kata semua subjek bola sepak jika anda berbicara dengan Setiausaha Agung FAM baharu ini.

Ada satu kata-katanya yang membuatnya penulis mengingati sampai sekarang ketika berbicara dengannya di Wisma FAS sebelum Saifuddin berhijrah ke FAM pada tahun 90-an.

“Bola sepak adalah hidup saya dan kunci kejayaan kepada bola sepak sama ada dalam atau luar padang, kamu harus sentiasa ghairah dan sentiasa ingin belajar. Paling penting kita harus sentiasa amanah.

“Ini kerana bola sepak adalah milik semua lapisan masyarakat dan umur. Apa yang mustahak adalah bagaimana kita memupuk seseorang pemain ketika dia di alam remaja.”

Menyedari sentimen ini membuatkan penulis bersetuju bahawa gandingan Presiden dan Setiausaha Agung  di mana kedua-dua tokoh yang ‘gila bola’ ini bagaikan secocok sekali gus bakal memberikan satu anjakan paradigma kepada bola sepak negara.

Apa yang pasti, penulis optimis bahawa dengan pengalaman luas di peringkat domestik dan antarabangsa serta latar belakang dan kelayakan yang dimilikinya, Saifuddin akan mampu membawa FAM ke tahap lebih tinggi.

Saifuddin memiliki pengalaman luas dalam pentadbiran bola sepak.

Penulis juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat menjalankan tugas kepada Saifuddin.

Harapan penulis bersama penyokong-penyokong bola sepak negara adalah dapat melihat beliau melaksana tugas dengan profesional dan penuh amanah demi memartabatkan bola sepak negara.

Akhir kata daripada penulis, hujan emas di negeri orang hujan batu di negeri sendiri.. lebih baik negeri sendiri.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: