
PRESIDEN Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) Datuk Megat Zulkarnain Omardin mencadangkan agar atlet lontar peluru Paralimpik Tokyo 2020 Muhammad Ziyad Zolkefli tetap diberi Hadiah Skim Kemenangan (Shakam) bernilai RM1 juta.
Megat Zulkarnain yang juga Chef de Misson (CDM) Sukan SEA 2019 Filipina, berkongsi pandangan tersebut di Facebook miliknya dengan mencadangkan supaya Menteri Belia dan Sukan baharu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memberikan hadiah insentif tersebut kepada Ziyad.
“Secara peribadi saya ingin cadangkan kepada sahabat saya YB DS Faizal Azumu, Menteri Belia & Sukan yang baru agar KBS tetap dapat memberikan Hadiah Skim Kemenangan(Shakam) yang bernilai RM1juta kepada Ziyad Zolkefli di atas pencapaian yang luar biasa di Tokyo.
“Sesungguhnya bukan mudah untuk seseorang atlet mempertahankan pingat emas yang dimenangi seterusnya dapat memecahkan dan mencipta rekod dunia yang baru.
“Apatah lagi lontaran Ziyad jauh meninggalkan peserta Ukraine yang mendapat tempat kedua dan ketiga,” tulis Megat Zulkarnain.
Kemenangan Ziyad kekal dibatalkan berikutan keputusan Jawatankuasa Paralimpik pada Rabu yang menolak rayuan kontinjen Malaysia selepas Ukraine membuat bantahan terhadap kelewatan Ziyad ke bilik menunggu (call room).
ARTIKEL BERKAITAN: “Saya minta maaf…” – Ziyad Zolkefli
Selain Ziyad, Ukraine juga membuat bantahan terhadap atlet Australia dan Ecuador dengan isu yang sama.
Apa yang berlaku ini pastinya sukar diterima oleh Ziyad memandangkan banyak pengorbanan yang dilakukan sepanjang tempoh dua tahun pandemik ini, malahan meninggalkan keluarga selama lima bulan untuk berkurung di Majlis Sukan Negara (MSN) bagi memberi fokus kepada latihan persediaan.

Malah sebelum terbang ke Tokyo, Ziyad dengan penuh yakin memberitahu prestasinya ke Paralimpik kali ini lebih seratus peratus persediaan untuk melakar rekod baharu.
Dan ternyata, apa yang dikatakan itu telah dikota dengan lontaran 17.94 meter sekaligus mencatat rekod baharu dunia.
Malang sekali, catatan rekod itu tidak dikira memandangkan dia beraksi dalam rekod yang dicatit DNS (Did Not Start).
Add Comment