Paralimpik Tokyo 2020

KBS arahkan MSN dan MPM gerakkan Jawatankuasa Siasatan

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

 

Ahmad Faizal (kanan) telah mengarahkan MSN bersama MPM menjalankan siasatan mengenai isu penarikan pingat emas Ziyad.

Oleh : SUBKHI SUDARJI

MAJLIS Sukan Negara (MSN) dan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) telah diarahkan untuk menggerakkan Jawatankuasa Siasatan bagi melihat insiden hingga menyebabkan pingat emas yang dimenangi Ziyad Zolkefli ditarik balik.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, jawatankuasa ini juga akan melihat insiden ini secara menyeluruh dan menyediakan pelan tindakan lanjut.

Jelasnya, dia telah mengarahkan Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail bersama MPM melihat apa  yang perlu dilakukan mengenai bantahan dan rayuan rasmi yang telah dilakukan juga kaedah pada masa depan bagaimana hendak menangani supaya insiden yang sama tidak akan berlaku kepada atlet negara nanti.

“Saya juga ingin menggesa untuk semua pihak tidak menuding jari mencari kesalahan sesiapa dalam hal ini tetapi yang paling penting agar semua pihak termasuk Paralimpik Antarabangsa (IPC) dan World Para Athletic (WPA) melihat semula peraturan – peraturan termasuk peraturan yang memerlukan kebijaksanaan dalam menguruskannya,” katanya menerusi kenyataan akhbar yang dikeluarkan, sebentar tadi.

Ahmad Faizal berkata, KBS memandang serius insiden yang berlaku dan merasa amat kesal dan kecewa dengan tata cara Jawatankuasa Penganjur khususnya pihak WPA dan IPC dalam mempertimbangkan situasi dan keadaan sebenar serta hasrat dan semangat temasya Paralimpik ini dianjurkan.

Tambahnya lagi, Malaysia kecewa bahawa dalam kita begitu setia berdiri dibelakang IPC menyokong temasya ini dilangsungkan dalam keadaan mengancam nyawa atlet-atlet kita tetapi sedikit kelewatan kalau benar ianya berlaku tidak dapat diberi pertimbangan sewajarnya.

“Apatah lagi atlet-atlet tersebut telah bersedia menunggu selama lima tahun tetapi harapan dan semangat paralimpik mereka dimusnahkan kerana kelewatan tidak sampai pun lima minit sahaja.

“Bukan kepada seorang sahaja atlet tetapi melibatkan tiga atlet dari tiga  negara dan ini adalah sesuatu yang amat mendukacitakan,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Faizal merakamkan ucapan terima kasih kepada deligasi Equador dan Australia yang telah bersama-sama Malaysia mengemukakan rayuan.

“Walaupun sebarang keputusan rayuan tersebut tidak memberi kesan perolehan pingat kepada atlet mereka sendiri, tetapi atas dasar semangat kesukanan paralimpik yang tinggi,kedua-dua negara tersebut berdiri teguh menyokong rayuan kontinjen Malaysia,” katanya.

 

 


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: