
KEDAH Darul Aman Football Club mencapai persetujuan bersama Rozaimi Abdul Rahman untuk menamatkan kontrak lebih awal selepas lapan bulan bersama pasukan.
Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan kelab berkenaan, penamatan kontrak ini adalah penyelesaian akhir atas permohonan pemain tersebut selepas kelab memberi peluang tempoh dua bulan buat Rozaimi untuk menyelesaikan hal peribadi sebelum beliau memutuskan haluan kerjaya bola sepaknya.
“Pihak pengurusan kelab menghormati pendirian beliau walaupun kudrat dan pengalamannya ditagih dibahagian serangan.
“Terima kasih dan selamat maju jaya dalam kerjaya bolasepak di masa hadapan!,” ujar kenyataan tersebut sebentar tadi.
Rozaimi sebelum ini diikat KDA FC selama satu musim bagi mengisi jentera serangan pasukan setelah berkelana di JDT II selama 4 tahun.
Sepanjang berkhidmat bersama KDA FC di musim 2021, beliau membuat sembilan penampilan, 264 minit aksi dan satu hantaran menghasilkan gol bersama skuad hijau kuning.
Penampilan terakhir Rozaimi adalah ketika membantu KDA FC menang ke atas Melaka United FC pada 30 April 2021.
Add Comment