Bola Sepak

Kegemilangan kelapan buat JDT


Oleh: JJFIRDAUS/ Foto: JDT

JOHOR  Darul Ta’zim (JDT) melakar satu lagi sejarah baharu bola sepak tempatan apabila menjuarai Liga Super Malaysia buat kali kelapan berturut-turut selepas menewaskan Sri Pahang 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Kejuaraan kelapan sejak kali pertama melakukannya pada tahun 2014 menjadikan JDT ‘Raja Liga Malaysia’ apabila muncul kelab terbanyak menjuarai liga dalam sejarah sejak 1979.

Turun dengan kesebelasan terbaik, JDT berjaya menguasai hampir keseluruhan permainan dengan Sri Pahang yang kehilangan beberapa tonggak utama terpaksa akur dengan kehebatan pasukan tuan rumah.

Bergson melakukan hatrik aksi malam ini.

Malam kejuaraan kelapan JDT bermula seawal minit kelapan menerusi ayam tambatan, Bergson Da Silva yang mengambil kesempatan kesilapan barisan pertahanan Sri Pahang untuk gol ke-21 beliau dalam liga.

Serangan demi serangan terus dilakukan oleh JDT selepas gol semangat itu sebelum sekali lagi Bergson menjaringkan gol kedua selepas berjaya menerima hantaran cantik dari legenda JDT, Safiq Rahim pada minit ke-41.

 

Bergson berjaya merakamkan hatrik beliau empat minit kemudian hasil gerakan cantik yang bermula dari Leandro Velasquez dan Gonzalo Cabrera yang melorongkan bola kepada Bergson untuk menewaskan Waqiuddin untuk JDT selesa mendahului 3-0 hingga tamat babak pertama.

Aksi pemain-pemain JDT meraikan gol kemenangan ke atas Pahang FC

Pahang cuba menyerap tekanan pada awal babak kedua dengan melakukan beberapa percubaan tetapi barisan pertahanan JDT ampuh bertahan mematahkan semua percubaan berbahaya.

Benjamin Mora melakukan pertukaran dengan mengeluarkan Safiq Rahim dan memasukkan Syafiq Ahmad dan penyerang kebangsaan itu nyaris membuka akaun jaringan pada minit ke-63.

Beberapa pertukaran dilakukan Mora bagi menambah sengat serangan tetapi JDT nampak sudah berpuas hati dengan tiga jaringan dan berjaya memenangi perlawanan ini tanpa cabaran yang besar dari Sri Pahang.

Sebaik wisel penamat ditiupkan, JDT sah muncul juara Liga Super Malaysia buat kali kelapan berturut-turut dan merakamkan rekod baharu bola sepak tempatan.


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: