
Oleh : SUBKHI SUDARJI
SRI Pahang FC terus merekodkan kekalahan kesembilan dalam saingan Liga Super selepas kecundang 0-2 di tangan Kuala Lumpur City FC pada aksi di Stadium Darul Makmur, sebentar tadi.
Selepas kecundang dengan jaringan yang sama pada aksi di Kuala Terengganu, 7 Ogos lalu, anak didik Dollah Salleh nyata gagal mempamerkan corak permainan menarik.
Ancaman awal dijelmakan Hadin Azman pada minit pertama perlawanan hasil kesilapan pertahanan tuan rumah hampir menghukum Tok Gajah namun Daniel Wafiuddin menyelamatkan gawang dari dibocori pelawat.
Hantaran kurang kemas dan kesilapan ketara di bahagian pertahanan terus disajikan tuan rumah dengan beberapa peluang dimiliki The City Boys melalui Romel Morales pada minit ke 27 namun rembatannya tersasar dari gawang gol.
Tok Gajah mula mempamerkan gerakan dan corak permainan menarik apabila rembatan Baqiuddin pada minit ke 35 tepat ke penjaga gawang lawan sebelum kedua pasukan beredar ke bilik persalinan dengan keputusan seri tanpa jaringan.
Memasuki babak kedua, gol yang dicari akhirnya muncul milik pelawat apabila Morales bijak memperdayakan pertahanan lawan sebelum melakukan rembatan deras menewaskan Wafiuddin pada minit ke-49.
Tuan rumah cuba memburu gol penyamaan namun sekali lagi dihukum hasil serangan balas yang mudah disempurnakan Zhafri Yahya untuk gol kedua pelawat dan keputusan berkenaan kekal sehingga tamat perlawanan.











Add Comment