Bola Sepak

23 pemain terbaik bola sepak wanita negara bakal dipilih ke Palestin


Oleh: SURYATI MOHD NOR

KETUA jurulatih bola sepak wanita kebangsaan Jacob Joseph memanggil 28 pemain menjalani latihan menjelang pusingan Kelayakan Piala Asia Wanita 2022 yang akan berlangsung pada 19-25 September ini di Palestin.

Rata-rata pemain yang dipanggil jurulatih Jacob ini majoritinya terdiri daripada pemain-pemain muda bawah 21 tahun, selain beberapa pemain senior untuk membantu pasukan.

Skuad wanita Harimau Malaya bakal berkumpul menjalani kem latihan secara kuarantin bermula Sabtu ini (21 Ogos) sehingga 14 September sebelum terbang ke Palestin bagi persiapan menghadapi saingan Kumpulan H bertemu Palestin dan Thailand.

“Hanya 23 pemain terbaik akan dipilih ke Palestin,” jelas Jacob kepada Cakap Sukan.

Selepas hampir dua tahun tanpa sebarang kejohanan tempatan dan pertandingan antarabangsa, sudah pasti pusingan kelayakan ini menjadi cabaran buat Jacob untuk kembali mencari keserasian di kalangan pemain-pemain ini.

Sebelum ini, Jacob turut berkongsi terpaksa mengumpul pemain-pemainnya dan menjalani latihan secara atas talian berikutan PKPD (Perintah Kawalan Diperketatkan) dan masa yang sangat terhad.

 

“Jujur saya katakan saingan kelayakan ini hanyalah sebagai pendedahan skuad negara memandangkan kita adalah pasukan baharu jika dibandingkan dengan dua lagi pasukan lawan nanti (Thailand dan Palestin).

“Saya juga persiapkan pasukan ini untuk Sukan SEA Vietnam hujung tahun ini (jika tidak ditangguhkan),” ujarnya sebelum ini.

Malaysia diundi bersama berada dalam Kumpulan H bersama Thailand dan Palestin.

“Kita tahu kekuatan pasukan Thailand macam mana. Mereka pernah menewaskan kita dengan jaringan besar sebelum ini dan kita tidak pernah menang.

“Manakala pasukan Palestin pula saya tidak tahu perkembangan terbaharu mereka. Tetapi apa yang pasti, walaupun negara mereka berdepan dengan peperangan, Palestin mempunyai 12 kelab bola sepak wanita yang bermain dalam liga. Cuma dua tiga tahun ini hanya ada enam kelab sahaja yang aktif,” tambah Jacob.

Pada saingan kelayakan ini 12 pasukan terbaik daripada 28 negara akan beraksi di pentas akhir Piala Asia Wanita 2022 yang bakal berlangsung di India pada 20 Januari hingga 6 Februari 2022.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: