
BEKAS pemain kebangsaan Singapura K. Kannan telah membuat rayuan kepada Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) agar penggantungan seumur hidup ditarik balik.
Kannan yang berusia 59 tahun itu telah dijatuhkan hukuman penjara dan denda pada 1995 kerana terlibat dalam rasuah berkaitan bola sepak.
Dia telah menyerahkan surat rayuan bertulis kepada FAS pada Jumaat lalu menerusi peguamnya Eugene Thuraisingam. Ini adalah percubaan rayuan kelima selepas beberapa percubaan yang dihantar kepada FAS dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dari 1995 hingga 2002 telah ditolak.
Kannan berkata: “Saya gembira kerana masih ramai yang memikirkan tentang saya dan mengambil berat.
“Saya sudah tua dan zaman hebat saya dalam dunia bola sepak sudah berakhir. Saya melakukan kesilapan dan telah menerima akibatnya dan saya hanya ingin meneruskan kehidupan saya.”
Bekas wartawan dan mantan ahli politik pembangkang Jose Raymond telah mengumpulkan pasukan guaman untuk membantu proses rayuan Kannan selepas mengetahuinya dari seorang teman yang Kannan ada menerima surat dari FAS pada Ogos tahun lalu.

Menurut akhbar The Straits Times, mereka difahamkan bahawa Kannan telah diberikan surat selepas dia didapati bermain bola sepak sosial bersama Persatuan India sebulan sebelum itu.
Surat itu telah ditandatangani oleh presiden FAST Lim Kia Tong, yang menyatakan bahawa Kannan telah “digantung secara tetap dari mengambil bahagian dalam pengurusan bola sepak atau keahlian atau aktiviti Persatuan” bermula 18 April 1995 selepas disabitkan kesalahan. Ia juga difahamkan bahawa Kannan sedar bahawa penggantungannya termasuk ‘dalam semua aktiviti berkaitan bola sepak’.
Bagaimanapun, pasukan guaman Kannan sedang mempertikaikan Artikel 75.8 Perlembagaan FAS yang mengehadkan penggantungan kepada ‘pengurusan bola sepak, keahlian atau aktiviti melibatkan FAS”, dan Persatuan India bukanlah ahli gabungan FAS affiliate member oleh itu Kannan boleh dibenarkan untuk bermain dan membantu dalam acara melibatkan bola sepak di sana.
Dalam masa yang sama, mereka memohon untuk membatalkan penggantungan seumur hidup ini kerana mereka Kannan mahu “memberikan semula kepada fraterniti bola sepak dan memberikan rasa sayang terhadap bola sepak kepada pemain-pemain muda”.
Rayuan ini turut disokong oleh testimoni dari beberapa bekas pemain kebangsaan seperti Malek Awab, Jai Prakash, dan E. Manimohan.
Sebelum disabitkan kesalahan, Kannan adalah penyerang hebat yang mewakili Singapura dalam dua temasya Sukan SEA pada 1981 dan 1983 dengan kejayaan memenangi pingat perak pada 1983.

Kannan bermain untuk Singapura dan Kuala Lumpur dalam Liga Malaysia dan Piala Malaysia dengan memenangi anugerah kasut emas pada 1987 serta memenangi liga dan piala buat Kuala Lumpur pada 1989.
Pada 1995, dia telah dijatuhkan hukuman penjara selama setahun dan $40,000 atas tuduhan konspirasi serta 18 bulan penjara dengan denda $5,000 atas pertuduhan rasuah. Secara keseluruhan, Kannan dipenjara tidak lebih dari 14 bulan dan dibebaskan pada tahun 1997.
Sehingga kini terdapat 16 pemain dan pegawai yang sedang menjalani penggantungan seumur hidup. Terdapat satu kes rayuan yang diterima pada 2009 apabila FAS menarik balik penggantungan bekas pemain Australia Abbas Saad selepas beliau membuat rayuan.
Pada 1995, Abbas telah disabitkan kesalahan rasuah dan mengatur perlawanan dan didenda $50,000 serta diberikan penggantungan bola sepak global, yang termasuk penggantungan seumur hidup dari aktiviti berkaitan bola sepak di Singapura.
Persatuan Bola Sepak Singapura masih belum memberikan sebarang respon ketika artikel ini ditulis.





Add Comment