
BAYERN Munich mempertahankan trofi Piala Super Jerman selepas menewaskan Borussia Dortmund, 3-1 pada aksi awal pagi tadi.
Robert Lewandowski meledak dua gol dan Thomas Mueller satu gol membantu Bayern memenangi kesemua enam perlawanan terakhir mereka menentang Dortmund.
Lewandowski meletakkan Bayern di depan dengan tandukan padu di Signal Iduna Park pada minit 41 sebelum Ketua pasukan Dortmund, Marco Reus menyamakan kedudukan pada minit ke -64.
Kedudukan tersebut tidak bertahan lama apabila selang 10 minit kemudian Thomas Mueller menjaringkan gol kedua buat Bayern sebelum Lewandowski memastikan kemenangan dengan gol keduanya peribadi dan ketiga pasukan pada minit ke-74.
Penyerang 32 tahun itu kini sudah meledak 24 gol dalam 24 perlawanan menentang Dortmund, di mana dia pernah beraksi empat tahun (tahun 2010-2014) bersama pasukan itu.

Pada perlawanan itu, pemain-pemain Bayern turut memperingati legenda Jerman Gerd Muller, yang meninggal dunia Ahad lalu pada usia 75 tahun.
Muller adalah pemenang Ballon d’Or dan bintang Jerman ketika memenangi Euro 1972 dan Piala Dunia 1974, di mana dia menjaringkan gol dalam kedua-dua final.
Selain itu, Muller kekal sebagai penjaring terbanyak Bayern dan membantu kelab itu memenangi empat gelaran Bundesliga, tiga Piala Eropah, empat Piala Jerman dan Piala Juara-Juara.








Add Comment