Bola Sepak

Kedah belum dalam prestasi terbaik


PENGENDALI Kedah Darul Aman FC, (KDA FC) Aidil Sharin Sahak mengakui skuad bimbingannya belum berada pada prestasi terbaik selepas kecundang 2-4 kepada Selangor FC 2-4 di laman sendiri malam tadi.

Jelasnya, turun selepas tidak beraksi lebih tiga bulan memang sukar buat mereka tambahan pula tanpa saingan berintensiti tinggi.

“Saya sudah jangkakan keadaan sebegini boleh berlaku dan kami tahu pemain mengalami sedikit penurunan tempo kecergasan, tambahan pula kami dikuarantin lebih 10 hari tanpa latihan sebelum perlawanan ini.

“Malahan pemain yang pulang beraksi bersama negara masing-masing sebelum ini seperti Rabih Ataya, Kpah Sherman, M Anumanthan dan Rizal Ghazali lebih awal menjalani kuarantin masing-masing menjadikan tempoh 28 hari secara keseluruhan.

“Namun itu bukan alasan di atas kekalahan malam ini, kami harus terima dan bangkit untuk prestasi yang lebih baik selepas ini,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Pada masa sama, pengendali kelahiran Singapura ini juga melihatnya sukar  untuk bangkit beraksi dengan kekurangan seorang pemain pada babak kedua selepas pertahanan importnya, Renan Alves dilayangkan kad merah.

“Sudah tentu kita melihat apabila memiliki 11 pemain kita dapat beraksi dengan baik dengan mendahului perlawanan tetapi dengan kekurangan seorang pemain pertahanan bukan satu yang mudah namun kita tetap bangkit untuk mendapatkan gol.

“Babak kedua kita boleh lihat tahap intensiti memihak Selangor yang beraksi lebih empat perlawanan berbanding kami yang tidak beraksi dalam perlawanan sejak menentang Sabah pada Mei lalu.

“Bagaimanapun secara keseluruhan saya masih berpuas hati dengan usaha ditunjukkan pemain kerana walaupun tewas, tetapi mereka tetap beri usaha 100 peratus,” katanya.

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: