Bola Sepak

Ifedayo buat hal di Alor Setar


Ledakan hatrik Ifedayo memastikan tiga mata penuh buat Selangor FC mengatasi Kedah Darul Aman FC, 4-2.

Oleh : SUBKHI SUDARJI

PENYERANG prolifik Selangor FC, Ifedayo terus melakar jaringan hatrik apabila membantu pasukan mengatasi Kedah Darul Aman FC (KDA FC ), 4-2 pada aksi yang berlangsung di Stadium Darul Amkan, sebentar tadi.

Pada aksi yang berlangsung dalam keadaan padang sedikit licin, pelawat terlebih dahulu berjaya mengegarkan gawang gol menerusi penyerang muda, Danial Asri pada minit ke -19 namun dibatalkan kerana offsaid.

Selang empat minit kemudian gol sulung perlawanan yang dicari akhirnya muncul dan menjadi milik Kedah menerusi jaringan penyerang import, Kpah Sherman pada minit ke-23 untuk menewaskan penjaga gawang Selangor FC, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman.

Tindakan pemain import tuan rumah, Renan Alves yang cuba menampan bola sepakan Ifedayo menggunakan tangan ketika berada di atas garisan gol menyebabkan pengadil perlawanan, Muhammad Nazmi Nasaruddin melayangkan kad merah buat pemain berkenaan dan menghadiahkan sepakan penalti buat Selangor FC.

Danial Asri menjaringkan gol kedua buat pasukan pada babak pertama.

Ifedayo yang ditugaskan tidak berdepan masalah menewaskan Mohd Shahril Sa’ari untuk gol penyamaan sebelum Danial Asri memastikan pelawat didepan menerusi jaringannya pada minit ke-30 untuk gol kedua.

Kedah bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan dipenghujung babak pertama menerusi jaringan Anumanthan untuk kedua-dua pasukan beredar dengan keputusan seri 2-2.

Babak kedua memperlihatkan perlawanan dikuasai sepenuhnya Selangor yang melancarkan gerakan memburu gol ketiga manakala tuan rumah lebih banyak bertahan.

Kelebihan beraksi dengan seorang pemain memastikan tiada tekanan buat Oliver Buff dibahagian tengah.

Usaha berterusan Selangor FC memburu gol ketiga akhirnya menjadi kenyataan apabila Ifedayo sekali lagi membuktikan ketajaman penyudahnya dengan memanfaatkan situasi kelam kabut didepan gawang pasukan lawan untuk merembat bola masuk pada minit ke-74.

Ketika Kedah cuba mencari gol penyamaan, Ifedayo yang telah menjaringkan 19 gol  peribadi  menambah satu lagi koleksi gol dan jaringan hatrik pada perlawanan malam ini pada masa kecederaan separuh masa kedua untuk kemenangan mutlak 4-2 mengatasi Kedah.

Tiga mata diraih malam ini memastikan Selangor FC melonjak kedudukan tangga keempat Liga Super.


Add Comment

Click here to post a comment