Bola Sepak

Perebutan kedua terbaik, Kedah enggan tercicir mata


Barisan pemain Kedah menjalani latihan menjelang aksi menentang Selangor malam esok.

KETUA  jurulatih Kedah Darul Aman FC, Aidil Sharin Sahak menyifatkan cabaran semakin sukar bagi merebut kedudukan kedua terbaik Liga Super melihat kepada pencapaian Terengganu FC yang kian konsisten.

Perlawanan yang terpaksa ditunda susulan kes positif COVID-19 dalam pasukan Kedah tempoh hari meletakkan mereka kini di tangga keempat liga dan perlu memastikan pasukan tidak tercicir mata dalam lima aksi tertunda terbabit untuk mengejar kembali kedudukan teratas.

Bagi Aidil, Terengganu merupakan pasukan yang serba lengkap daripada segala aspek dan sememangnya layak untuk kini kekal di tangga kedua dibezakan lapan mata dengan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Tidak seperti Kedah yang pada awalnya sering berdepan masalah kecederaan pemain dan agak bergelut untuk kekal konsisten sekali gus menyaksikan perebutan merampas kembali sekurang-kurangnya kedudukan kedua terbaik lebih sukar.

“Terengganu sememangnya layak berada di atas sekarang kerana kalau nak dibandingkan dengan kami, memang berbeza.

“Kami pada awal musim berlaku banyak kecederaan termasuk Renan Alves sebelum ini, tetapi berbeza dengan Terengganu, mereka sentiasa ada pemain yang boleh ditukar ganti disebabkan ada pasukan Reserve Team.

“Jika tiada David Da Silva, sekurang-kurangnya mereka ada Jordan Mintah dan itu menjadikan mereka sebenarnya adalah pasukan yang serba serbi lengkap dan seharusnya mereka di tempat kedua sekarang.

“Tetapi kami juga masih ada harapan dan kita akan cuba sehabis baik untuk fokus satu demi satu perlawanan untuk kejar balik kedudukan yang sepatutnya,”jelasnya.

Aidil menyifatkan Terengganu pasukan serba lengkap daripada segala aspek dan sememangnya layak untuk kini kekal di tangga kedua dibezakan lapan mata dengan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Menjelang pertembungan dengan Selangor FC pada malam esok, Aidil mengesahkan hanya Ariff Farhan yang digantung perlawanan selepas mengumpul tiga kad kuning manakala pemain-pemain lain berada di tahap terbaik untuk diturunkan.

Menyifatkan Selangor ketika ini dalam momentum terbaik selepas dua kemenangan terdahulu, Aidil mahu setiap pemain memberikan komitmen lebih 100 peratus di atas padang kerana kelebihan sudah pasti memihak kepada lawan yang telah menempuh empat perlawanan sebelum ini.

“Hanya Ariff Farhan yang digantung, manakala yang lain dalam keadaan baik cuma kita boleh jangkakan malam esok akan menjadi malam yang cukup sengit sebab dah lama tidak bermain.

“Kalau dengan keadaan pasukan saya dah tiga bulan tidak beraksi tanpa satu pun aksi persahabatan dapat diadakan, semestinya kita akan jangkakan perlawanan yang lebih berbeza.

“Selangor dah bermain empat perlawanan, jadi sudah tentu tahap permainan mereka akan lebih baik, tetapi kita akan cuba yang terbaik”, katanya.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: