
LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan pindaan jadual Liga Super dan Liga Premier bagi musim 2021 bagi memberi memberi keseimbangan serta menjaga integriti saingan Liga Malaysia selepas lima perlawanan Liga Super melibatkan Kedah Darul Aman KDA dan tujuh perlawanan Liga Premier membabitkan Kuching City FC (KCFC) terpaksa ditunda susulan kes Covid-19.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Ab Ghani Hassan, keputusan itu terpaksa diambil selepas merujuk kes membabitkan pasukan KDA dan KCFC yang perlu menjalani proses kuarantin selama 14 hari apabila pemain dan pegawai mereka telah disahkan positif COVID-19.
Katanya, perlawanan-perlawanan tertunda yang melibatkan pasukan KDA dan KCFC akan dijalankan di antara hari-hari perlawanan Liga Super dan Liga Premier yang telah ditetapkan.
“Perlawanan terakhir Liga Premier ke-22 dan Liga Super ke-22 akan dijalankan secara serentak dan ia berlangsung pada hari yang berbeza termasuk melibatkan pasukan KDA dan KCFC.
“Ini akan memberikan keadilan dalam penentuan kedudukan pasukan dalam liga yang turut merupakan Kelayakan Liga Juara-Juara AFC, Piala AFC, TM Piala Malaysia, Challenge Cup termasuk penentuan kenaikan dan penyingkiran pasukan musim depan di mana pindaan terhadap Jadual Liga Super dan Liga Premier turut menyebabkan tarikh undian Piala Malaysia dan Challenge Cup dipinda,” katanya dalam satu kenyataan rasmi, hari ini.
Berdasarkan pindaan terbaharu Jadual Liga Malaysia 2021, perlawanan Liga Super ke-18 bermula pada 13 Ogos 2021 manakala perlawanan Liga Super ke-19 sehingga 22, ia akan berlangsung bermula 20 Ogos 2021 sehingga 12 September 2021.
Sementara bagi Liga Premier, aksi ke-18 berlangsung pada 15 Ogos 2021 dan pindaan berlaku pada perlawanan ke-19 sehingga 22 di mana ia akan berlangsung pada 20 Ogos 2021 sehingga 18 September 2021.
Sementara itu, Dato’ Ab Ghani memberitahu, MFL akan menggunakan beberapa aksi termasuk perlawanan tertunda pasukan dalam tempoh FIFA Days selepas mendapat ‘lampu hijau’ daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
“Perlawanan Liga Super ke-21 dan dua perlawanan tertunda melibatkan KCFC akan dijalankan semasa tempoh FIFA Days dan saya ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan penghargaan ke atas FAM di atas ‘lampu hijau’ untuk menggunakan slot FIFA Days demi kestabilan penjadualan Liga Malaysia.
“Oleh yang demikian, kelab-kelab Liga Super atau Liga Premier yang mempunyai pemain import yang dipanggil ke latihan pusat pasukan kebangsaan masing-masing mempunyai hak untuk menggunakan budi bicara untuk mengekalkan pemain bersama kelab bagi menghadapi perlawanan liga yang telah ditetapkan.
“Namun sekiranya kelab membenarkan pemain import mereka menyertai pasukan kebangsaan atau lebih spesifik keluar dari negara Malaysia, prosedur iaitu kuarantin selama 14 hari akan dilaksanakan sebelum mereka menyertai kembali ke kelab. Jadi keputusan itu terserah di tangan kelab masing-masing,” katanya.





Add Comment