Bola Sepak

Gol awal tambah keyakinan dan semangat pemain


Da Silva (dua,kiri) meledak gol awal buat TFC membantu kemenangan ke atas Sri Pahang FC, 2-0.

PENGENDALI Terengganu FC, Nafuzi Zain menyifatkan gol awal dimiliki pasukannya memberikan semangat tambahan dan keyakinan yang seterusnya membuka ruang untuk gol kedua dihasilkan.

Tegasnya, pemain jelas kelihatan kepenatan walaupun perlawanan baru berlangsung tetapi dengan gol awal menyuntik semangat semua pemain.

“Tiga perlawanan dalam tempoh tujuh hari, nampak letih pemain. Gol awal menaikkan semanhat pemain, disitulah faktor kemenangan kita malam ini,” jelasnya pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak Kuala Terengganu, penyerang import tuan rumah, David Da Silva tidak menunggu lama merobek gawang Sri Pahang FC melalui rembatan kencangnya pada minit ke-12 yang gagal diselamatkan Muhammad Zarif Irfan Hashimuddin selaku benteng terakhir Tok Gajah.

Namun selang seminit kemudian, penyerang kelahiran Brazil itu terpaksa dikeluarkan berikutan kecederaan dan digantikan dengan pemain muda sedang meningkat naik, Mohamad Hakimi Abdullah.

Bekas pemain Sri Pahang FC, Faisal Halim menggandakan kelebihan buat TFC menerusi tandukan mudah  untuk gol kedua dan keputusan berkenaan kekal sehinggalah tamat perlawanan.

Hasil kemenangan itu, skuad Penyu kekal menghuni di kedudukan kedua Liga Super dengan mengumpul 37 mata dengan perbezaan lima mata dengan pendahulu, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang hanya akan beraksi pada malam ini menentang Sabah FC.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: