Bola Sepak

TFC mudah jinakkan Sri Pahang FC, MUFC terus dihukum


Faisal (kiri) menjaringkan gol kedua buat TFC memastikan kemenangan 2-0 ke atas Sri Pahang FC.

Oleh : SUBKHI SUDARJI

TERENGGANU FC merapatkan jurang mata dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila tidak berdepan masalah menewaskan jiran setempat, Sri Pahang FC, 2-0 pada aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak Kuala Terengganu, sebentar tadi.

Penyerang import, David Da Silva semakin membuktikan bisanya apabila meledak gol pertama pada minit ke-12 sebelum bekas pemain Tok Gajah yang berkelana ke Terengganu FC, Faisal Halim menjaringkan gol kedua selang 12 minit kemudian.

Kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan menarik sebelum Da Silva berjaya mencatatkan nama selaku penjaring menerusi rembatan kencangnya yang gagal diselamatkan Mohd Zarif Irfan untuk gol pertama tuan rumah.

Gol tersebut terus menaikkan semangat anak didik Nafuzi Zain yang terus melancarkan serangan dan berjaya memperolehi gol kedua menerusi tandukan mudah Faisal yang tidak dikawal pada minit ke-24 untuk memastikan Zarif Irfan tewas buat kali kedua.

Babak kedua mempamerkan corak permainan berbeza Sri Pahang FC yang turut memiliki beberapa peluang namun dua gol yang diraih TFC pada separuh  masa pertama kekal sehinggalah tamat perlawanan dengan tiga mata memihak tuan rumah.

Tiga mata diraih TFC merapatkan jurang lima mata dengan penerajui Liga Super, JDT yang hanya akan beraksi malam esok menentang Sabah FC dilaman sendiri.

Penyerang import MUFC, Sony Norde (kanan) cuba melepasi kawalan dari pemain lawan.

MUFC DIHUKUM SEPAKAN PENALTI KONTROVERSI

Melaka United FC sekali lagi dihukum dengan keputusan kontroversi pengadil perlawanan, Noor Azriel Baaharudin yang menghadiahkan sepakan penalti buat Penang FC yang menyaksikan keputusan memihak tuan rumah 2-1 ke atas pelawat.

Pada aksi yang diadakan di Stadium Bandaraya Pulau Pinang, tiada sebarang gol terhasil pada separuh masa pertama dengan kedua-dua pasukan dilihat mempamerkan corak permainan berhati-hati.

Corak agresif dipamerkan kedua-dua pasukan dengan Penang FC dilihat lebih mengancam melalui gerakan Casagrande untuk memecah kekebalan benteng pelawat.

Keputusan Noor Azriel yang memberikan sepakan penalti buat tuan rumah selepas pemainnya Rafael Vitor dikasari pertahanan lawan, Sukwon Jang nyata menimbulkan rasa tidak puas hari pemain MUFC yang membantahnya namun Noor Azriel tidak berganjak dengan keputusannya itu.

Vitor yang mengambil sepakan berkenaan tidak berdepan masalah menewaskan Khairul Fahmi Che Mat pada minit 75.

Memasuki masa perlawanan sebenar separuh masa kedua, pemain import MUFC, Giovane Gomes menyamakan kedudukan hasil tandukannya namun kegembiraan tersebut tidak bertahan lama apabila Sheriddin Boboev menjaringkan gol kemenangan 2-1 buat Penang FC pada masa kecederaan.

Josue bijak menyambar peluang menjaringkan gol buat KL City FC.

GOL TUNGGAL JOSUE PASTIKAN TIGA MATA

AKSI di Stadium KLFA, Cheras turut menyaksikan jaringan tunggal ketua pasukan KL City FC, Paulo Josue pada minit ke-31 sudah cukup buat tuan rumah mengatasi Petaling Jaya City FC.

Gol berpunca kesilapan pertahanan lawan yang gagal mengeluarkan bola sebelum disambar Josue untuk gol pada babak pertama.

Josue berpeluang melebarkan jurang kelebihan apabila dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke 88 namun berjaya dinafikan Ahmad Syihan dan keputusan 1-0 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan pengadil perlawanan, Mohd Fusser Mad Sallih.

Pemain import Perak FC, Sergio Aguero (kanan) gagal mendapatkan sokongan rakan sepasukan ketika mengatur gerakan.

UiTM FC RAIH KEMENANGAN PERTAMA

PERTEMBUNGAN kelompok dua pasukan terbawah liga juga tidak kurang menariknya apabila Uitm FC berjaya meraih kemenangan pertama selepas 17 perlawanan Liga Super apabila mengatasi Perak FC, 2-0.

Gol pertama tuan rumah dijaringkan Sean Gan Giannelli pada minit ke-30 sebelum Shafiq Al-Hafiq menggandakan kelebihan jaringan gol kedua (m-74) dan ia terus kekal sehinggalah tamat perlawanan.

 

 

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading