
Oleh : SUBKHI SUDARJI
JOHOR Darul Ta’zim (JDT) berpesta jaringan gol apabila membenam Perak FC , 5-0 pada aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor sebentar tadi.
Penyerang Harimau Selatan, Bergson dan Silva meraih tumpuan apabila melakar jaringan hatrik manakala Gonzalo Cabrera meledak dua gol untuk memastikan JDT terus gah memimpin liga dengan kelebihan sembilan mata selepas 16 perlawanan.
Pada aksi yang berlangsung, Perak FC dilihat berjaya memberikan saingan buat tuan rumah sehinggalah Bergson menjaringkan gol sulung perlawanan pada minit ke 20.
Penyerang prolifik Harimau Selatan ini terus mengganas ketika permainan baru bersambung dua minit separuh masa kedua dengan gol kedua sebelum dia melakar hatrik dengan jaringan pada minit ke 59.
Pesta kenduri gol tuan rumah berterusan apabila Gonzalo Cabrera turut sama mencatatkan nama selaku penjaring gol pada minit ke 83 sebelum dia sekali lagi mudah menyempurnakan sepakan penalti selang enam minit kemudian untuk kemenangan mutlak 5-0 ke atas Perak FC.

SEMENTARA ITU, dua sepakan penalti yang gagal disempurnakan Penang FC memastikan mereka mengalami kekalahan keempat apabila kecundang 1-4 kepada Selangor FC dilaman sendiri.
Pelawat terlebih dahulu berada didepan melalui Ifedayo pada minit ke-16 sebelum David Rowley menyamakan kedudukan buat tuan rumah pada minit ke-40 untuk kedua-dua pasukan masuk ke bilik persalinan dengan keputusan seri 1-1.
Ifedayo terus membuktikan peranannya apabila hantaran menariknya memberikan gol kedua buat pasukan hasil jaringan Danial Asri (m-49) sebelum Sean Selvaraj melebarkan kelebihan jaringan ketiga selang lapan minit kemudian.
Tuan rumah seharusnya mampu menyamakan kedudukan selepas dihadiahkan dua sepakan penalti namun dua pemain importnya, Endrick Dos Santos dan Rafael Vitor gagal meletakkan bola dalam gawang.
Pelawat terus memastikan kemenangan mutlak apabila memperolehi gol keempat hasil jaringan Ifedayo dipenghujung separuh masa kedua.

DI Stadium KLFA, Cheras pula jaringan pertahanan import Melaka United FC, Jang Suk Wong pada masa kecederaan dipenghujung babak kedua memastikan Kuala Lumpur City FC berputih mata dan terpaksa berpuas hati berkongsi mata dengan keputusan seri 1-1.
KL City FC memperolehi gol hasil tandukan Zhafri Yahya pada minit ke-53 sebelum aksi yang dilanjutkan lebih 10 minit ekoran lampu limpah stadium yang gagal berfungsi dengan baik memberikan peluang buat MUFC menyamakan kedudukan hasil penyudahan sempurna Jang Suk Wong.






Add Comment