Olimpik 2020

Dalam sehari ‘Butterfly Queen’ raih dua emas, dua rekod baharu… “Saya tak tahu berenang 200m”

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Yufei mengakui dia tidak pandai beraksi dalam acara 200 meter.

PERENANG sensasi China, Zhang Yufei mencipta rekod peribadi apabila memenangi dua pingat emas dalam masa satu jam dan  berjaya mencatatkan rekod olimpik dan juga memecahkan rekod dunia.

Yufei, 23 tahun muncul dalam penglibatan olimpik kedua beliau berjaya meraih emas menerusi acara 200 meter kuak kupu-kupu dan 4×200 meter gaya bebas berganti-ganti sekaligus mengutip dua pingat emas pertama buat China di kolam renang.

Dia yang digelar ‘butterfly queen’ oleh para peminat membuktikan gelaran itu apabila menguasai acara 200 meter kuak kupu-kupu menewaskan dua perenang Amerika Syarikat dan berjaya mencatat rekod baharu Sukan Olimpik pada jam 11.28 pagi waktu Tokyo.

Yufei turut mencipta rekod Olimpik dan dunia.

Sejam kemudian, Yufei bersama-sama tiga lagi perenang China berjaya pula memecahkan rekod dunia menerusi acara 4x200m gaya bebas berganti-ganti dan berjaya mengejutkan kuartet pilihan dari Australia dan Amerika Syarikat.

Apa yang menarik, Yufei hanya mengetahui dia akan berenang pada acara gaya bebas selepas menamatkan perlumbaan 200m kuak kupu-kupu.

“Saya tidak tahu yang saya akan lakukannya hingga berjaya menamatkan acara saya dan jurulatih memberitahu, anda akan bersaing dalam acara berganti-ganti,” kata Yufei.

“Sebenarnya saya tidak tahu untuk berenang 200 meter gaya bebas, walaupun saya mempunyai tahap dan kualiti latihan untuk jarak 200 meter.

Yufei merangkul dua pingat emas dalam masa satu hari.

“Saya pernah lakukannya dengan pantas ketika Kejohanan Sukan Kebangsaan China jadi mungkin itu sebab mengapa jurulatih menyuruh saya menyertai acara berganti-ganti.”

Tidak cukup dengan dua kejayaan itu, pada sebelah petangnya pula, Yufei sekali lagi turun ke kolam renang kali ini menerusi acara saringan 4x100m campuran berganti-ganti dan berjaya memenanginya untuk layak ke acara akhir yang dijadualkan pada 31 Julai nanti.

Tiga kemenangan, dua pingat emas, satu rekod olimpik, satu rekod dunia dalam hari yang sama pastinya menjadikan hari yang indah dan menakjubkan buat gadis manis kelahiran Xuzhou ini.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: