Bola Sepak

Enam elemen jadi agenda teras PTF


Hamidin Mohd Amin

SEBANYAK enam elemen utama dikenal pasti sebagai subjek teras untuk dibincangkan secara mendalam oleh  Pasukan Petugas Khas Presiden FAM atau FAM Presidential Task Force (PTF) yang bersidang buat kali pertama pada Rabu.

Enam elemen utama itu ialah Pasukan Kebangsaan, Pembangunan akar umbi dan remaja, Pendidikan Kejurulatihan dan Prestasi Tinggi, Bola sepak Wanita, Futsal dan Bola Sepak Pantai,  Pertandingan serta Tadbir Urus dan Kelestarian Kewangan.

“Pada mesyuarat pertama ini, FAM mengambil kesempatan memberi penerangan mengenai struktur organisasi, visi dan misi FAM, DNA bola sepak Malaysia serta peraturan yang mengawal statut FAM dan terma rujukan PTF.

“Sesi pengenalan ini penting untuk kita setiap anggota mengenali antara satu sama lain meskipun ia diadakan secara maya,” ujar Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin yang mempengerusikan mesyuarat secara atas talian pada Rabu.

Mesyuarat tersebut memutuskan secara sebulat suara enam elemen berkenaan sebagai topik yang harus diberi tumpuan bagi membantu badan induk itu mencari jalan memperbaiki pencapaian di luar dan dalam padang.

Dalam mesyuarat pertama PTF itu,sembilan anggota yang dilantik Mei lalu hadir.

Mereka yang dipilih terdiri daripada antaranya dalam kalangan peneraju korporat, syarikat berkaitan kerajaan, pengamal undang-undang, ahli akademik, penyokong bola sepak, media serta kerabat diraja.

PTF bermesyuarat buat kali pertama pada Rabu.

Mereka ialah Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Datuk Ruzain Idris; bekas Pengarah Bahagian Sukan Kementerian Pendidikan, Datuk Ee Hong, pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian; pensyarah kanan di Fakulti Undang-undang, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Mohd Bahrin Othman; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Berjaya Corporation Berhad, Abdul Jalil Abdul Rasheed; Tengku Indera Bijaya Diraja Selangor, Tengku Salehuddin Shah Alhaj Tengku Sulaiman Shah Alhaj; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bank Muamalat Malaysia Berhad, Khairul Kamarudin; Penggerak Ultras Malaya, Muhammad Tarmizi Abdul Aziz dan  Timbalan Pengarang Goal dot com, Ooi Kin Fai.

Hadir sama dalam persidangan secara maya ini ialah Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM yang juga Pengerusi Jawatankuasa Undang-undang FAM, Saaran Nadarajah, ahli jawatankuasa eksekutif yang juga Pengerusi Jawatankuasa Media dan Perhubungan Awam FAM, Chris Raj serta Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam dan Pengarah Teknikal FAM, Datuk Ong Kim Swee.

Hamidin menjelaskan persidangan pertama itu bertujuan memastikan anggota PTF memahami perkembangan terkini serta usaha-usaha yang sudah dilakukan oleh FAM  dari segi pelaksanaan visi dan misi, tadbir urus serta persiapan pasukan kebangsaan.

“Ahli PTF diberi sesi penerangan yang lengkap bertujuan memastikan mereka faham peranan FAM sebagai badan induk bola sepak.

“Besarlah harapan saya andai semua ahli PTF mengemukakan dan membentangkan beberapa idea segar yang boleh membantu meningkatkan prestasi pasukan kebangsaan dan prestasi tadbir urus FAM.”


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: