Bola Sepak

Perak FC gagal loloskan diri, Mintah buktikan ketajaman penyudah


Perak FC dan KLFC sekadar berkongsi satu mata pada aksi yang berlangsung sebentar tadi.

Oleh : SUBKHI SUDARJI

PERAK FC gagal meloloskan diri untuk tidak terus berada dalam zon penyingkiran ke Liga Premier 2022 selepas sekadar seri tanpa jaringan ketika menerima kunjungan Kuala Lumpur City FC (KLFC) di Stadium Perak, sebentar tadi.

Skuad bimbingan Cong Yee Fat dilihat mendominasi perlawanan begitu agresif memburu gol pada awal permainan melalui gerakan yang dijelmakan penyerang importnya, Nana Poku.

Tiada sebarang percubaan berbahaya dihasilkan pada separuh masa pertama oleh kedua-dua pasukan dengan bola banyak berlegar dibahagian tengah padang.

Memasuki 45 minit babak kedua pula, corak permainan berbeza dipamerkan pelawat yang hampir memperolehi gol pertama melalui Hadin Azman namun penjaga gawang Perak FC, Muhammad Azri Ab Ghani tangkas menyelamatkan gawang pada minit ke 48.

Selang dua minit kemudian, Azri terus menjadi penyelamat pasukan apabila berjaya menafikan percubaan dari luar kotak penalti oleh ketua pasukan KLFC, Paulo Josue.

Tuan rumah turut mempunyai peluang melalui pemain importnya, Charles William pada minit ke 61 namun tolakkannya berjaya ditepis penjaga gawang KLFC, Kevin Mendoza.

KLFC seharusnya pulang dengan tiga mata namun rembatan pemain gantian, Muhammad Fakhrul Aiman Sidid dipenghujung perlawanan jauh tersasar melewati palang gol tuan rumah dan keputusan seri tanpa jaringan sehinggalah tamat perlawanan.

Ketua pasukan Selangor FC II, Harith Haiqal (tengah) menjaringkan gol kemenangan buat pasukan.

Sementara itu dalam aksi Liga Premier yang turut berlangsung malam ini, Projek FAM-MSN terus mencatatkan kekalahan apabila tewas 0-1 dilaman sendiri ketika menentang Selangor FC II di Stadium UiTM FC.

Gol tunggal kemenangan pelawat dijaringkan melalui ketua pasukan, Harith Haiqal Adam Afkar pada minit ke 59.

Mintah (kanan) terus membuktikan bisanya selepas membantu pasukan meraih tiga mata.

Bagi aksi di Stadium Sultan Nasiruddin Shah Kuala Terengganu pula, penyerang import tuan rumah, Jordan Mintah terus membuktikan ketajaman gerakan penyudah apabila jaringan tunggalnya pada minit ke-66 memastikan tiga mata penuh buat Terengganu FC II ketika berdepan Negeri Sembilan FC.

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading